Sahur suami yang masak: Anita Baharom
PELAKON, Anita Baharom berkongsi di bulan Ramadan ini ada ketikanya pada waktu sahur, suaminya, Mohd Ismadi Ismail, masak untuk mereka sekeluarga.
Anita, 36, berkata, melihat apabila dirinya seakan-akan keletihan dan tidak bermaya selepas hari siang sibuk dengan kerja di luar dan urusan menjaga anak-anak, suami mengambil peranan sebagai ibu pada waktu sahur.
“Alhamdulillah terima kasih ALLAH sebab hadirkan suami yang sangat faham akan isterinya ini. Sejak awal Ramadan suami rajin masak untuk kami anak-beranak pada waktu sahur.
“Bahkan, kalau pinggan mangkuk banyak di singki pun dia bantu saya cuci. Dia suruh saya berehat,” jelasnya ringkas tersenyum.
Menerusi perkongsian hidup bersama suami, Anita dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Syifa Dhia Nurina, Mohamad Dhia Iskandar dan Mohamad Dhia Mikail.
Anita ditemui pada program Himpunan Artis Sayang al-Quran 4.0 (HASA) di Istana Budaya, semalam.
Berkongsi penglibatan sebagai Ahli Jawatan Kuasa bahagian jemputan tetamu Usrah Fitrah Malaysia (UF), Anita berharap akan ada pertambahan lebih menggalakkan pada penganjuran seterusnya.
“Alhamdulillah tahun keempat ini saya dapat lihat rata-rata ramai muka baharu yang hadir mendekatkan diri dengan program ini untuk lebih mengenali al-Quran.
“Saya nampak ada artis Sabrina Ali, Erra Fazira dan beberapa nama lagi.
“Jadi saya berharap agar di tahun-tahun mendatang dapat ramai lagi artis tempatan mengimarahkan program HASA,” katanya.
HASA 4.0 merupakan program bertujuan memberi pendedahan kepada penggiat seni tempatan tentang keindahan dan ilmu yang terkandung dalam al-Quran, dengan harapan mereka semakin dekat dengan Islam.
Ia juga turut mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!