Tiga anggota polis direman disyaki minta, terima rasuah RM800
MELAKA - Tiga anggota polis ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM800.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hasni di Mahkamah Majistret.
Difahamkan tiga anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal berusia antara 27 hingga 34 tahun dipercayai meminta dan menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM800 daripada seorang individu di kawasan sekitar Gemencheh, Negeri Sembilan.
Suapan itu sebagai suatu dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas beberapa individu yang dikatakan telah memiliki dadah jenis syabu.
Sumber berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek telah meminta wang rasuah daripada seorang orang awam secara tunai.
"Kesemua suspek telah ditahan pada Isnin kira-kira jam 7 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!