PRK: Polis Johor terima 28 laporan polis
JOHOR BAHRU - Polis Johor mengesahkan sebanyak 28 laporan polis diterima setakat ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
Menurutnya Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kebanyakan laporan berkenaan melibatkan kerosakan yang berlaku terhadap bahan-bahan kempen pada PRK kali ini seperti bendera, poster, kain papan iklan dan lain-lain.
"Secara keseluruhannya, setakat ini sebanyak 28 laporan polis kita terima dan kebanyakannya adalah mengenai kerosakan yang berlaku pada bahan-bahan kempen.
"Bagaimanapun dalam masa sama, sebanyak empat kes berhubung isu 3R (agama, kaum dan institusi Diraja), turut kita terima.
"Dua kes disiasat di Johor dan dua lagi kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5, Bukit Aman,” katanya kepada pemberita.
Kamarul Zaman berkata demikian pada sidang media ketika meninjau proses undi awal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi, di sini pada Selasa.
Untuk rekod, kesemua laluan di pintu masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini akan dibuka bagi memudahkan rakyat terutamanya dari Parlimen Pulai, pulang mengundi Sabtu ini.
Sementara itu Kamarul Zaman berkata, pegawai dan anggota bertugas di CIQ dan BSI akan ditambah berkemungkinan mulai Khamis ini.
“Memang akan ada penambahan pegawai dan anggota di CIQ BSI, sekarang ini sudah ada lebih 200 anggota bertugas di sana.
“Penambahan ini dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan masuk pengundi dari Singapura dan jalan-jalan di laluan tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!