Mizz Nina, Essam serba putih sempena resepsi di KL
PENYANYI dan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina akhirnya melangsungkan majlis resepsi bersama pasangan, Essam Muhammad di sebuah acara tertutup malam Isnin selepas hampir tiga bulan bernikah.
Difahamkan, majlis persandingan tersebut diadakan di sebuah ruang acara bertempat di Boathouse Ampang, Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat.
Berita itu dikongsikan menerusi laman sosial Instagram jurusolek, Fazz Ariffin yang memuat naik foto hasil tata rias pengasas Qalby App berusia 43 tahun itu.
Tampil anggun dengan solekan sederhana, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman tampil kelihatan anggun dalam persalinan berwarna putih hasil rekaan pereka fesyen, Ezzati Amira.
Berjalan dari pintu masuk menuju ke pelamin, para tetamu yang hadir tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto Mizz Nina dan Essam.
Majlis tersebut juga turut dikongsikan rakan rapat Mizz Nina, Aliza Kim yang memuat naik foto pasangan pengantin bersama anak angkat Mizz Nina, Musa.
Turut kelihatan hadir memeriahkan majlis ialah pelakon Datin Lisa Surihani dan suami, Datuk Yusri Abdul Halim.
Mizz Nina terdahulu berkongsi khabar gembira mengenai pernikahannya dengan suami, penyanyi rap berdarah kacukan Maghribi-Amerika Syarikat itu.
Mizz Nina dan Essam disatukan dalam ijab kabul yang berlangsung secara tertutup di luar negara pada suku tahun kedua tahun ini. - Sinarplus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!