Pekerja asing maut runtuhan batu di tapak kuari

Operasi menyelamat digerakkan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap. Foto: Bomba Perak
Operasi menyelamat digerakkan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap. Foto: Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Seorang pekerja asing dilaporkan maut dalam kejadian runtuhan batu kapur di sebuah tapak kuari di Jalan Cameron Highlands-Keramat Pulai dekat Simpang Pulai pada Selasa.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai pada jam 10.56 pagi membabitkan pekerja asing dipercayai warga Pakistan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, maklumat awal mendapati mangsa terperangkap dalam runtuhan itu.

Menurutnya, sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit sedang dijalankan di tempat kejadian.

"Operasi ini perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana dibimbangi masih berlaku pergerakan batu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Dalam kejadian Mac tahun lalu, dua pekerja kuari maut akibat tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai.

Kejadian sekitar jam 9.15 pagi itu turut mengakibatkan seorang lagi mangsa berusia 35 tahun mengalami patah tulang kaki manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!