TDM dijangka terima dua Black Hawk - PTD
KUALA LUMPUR - Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima dua daripada empat buah helikopter jenis Black Hawk pada hujung tahun ini.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, pesawat buatan Amerika Syarikat berkenaan akan digunakan oleh Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Beliau berkata, TDM akan menghantar juruterbang ke Turki untuk menjalani latihan simulator Black Hawk sebelum helikopter itu dibawa ke Malaysia.
"Kami akan menghantar juruterbang (PUTD) pada Oktober ini agar latihan simulator Black Hawk dapat dikendalikan sepenuhnya oleh juruterbang secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat ke-29 di Dataran PTD Kem Perdana Sungai Besi, di sini pada Selasa.
Mengulas mengenai perkembangan tender perolehan meriam artileri 155MM jenis Self Propelled Howitzer (SPH) buatan Turki untuk TDM, Mohammad berkata proses dokumentasi perolehan 18 unit SPH dijangka selesai pada Disember ini.
"Sekarang ini TDM sedang dalam proses perolehan beberapa sistem persenjataan bagi mengukuhkan kesiapsiagaan.
"SPH antara projek yang menjadi keutamaan tentera darat dalam meningkatkan keupayaan elemen kuasa tindakan dan kesiagaan pasukan Rejimen Artileri Diraja," katanya. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!