Tidak mustahil 'scammer' guna teknologi AI untuk menipu
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Teknologi sistem kecerdasan buatan (AI) tidak mustahil akan menjadi salah satu alat baru oleh 'scammer' secara dalam talian pada masa akan datang.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar berkata, sindiket 'scammer' akan lakukan apa sahaja cara atau modus operandi yang ada bagi menipu mangsa.
"Senario yang boleh berlaku dengan kepesatan teknologi AI pada masa kini, membolehkan ‘scammer’ meniru suara atau rupa yang boleh memperdayakan mangsa untuk tujuan penipuan.
“Saya fikir dengan perkembangan teknologi (AI) apa yang kita lihat sekarang ini, banyak manfaat positif yang terhasil daripada teknologi baharu ini.
“Malangnya ia juga adalah contoh di mana teknologi boleh disalahgunakan. Ini adalah sesuatu yang saya fikir kita perlu berhati-hati.
“Saya tidak mahu memandang rendah pada ‘scammer’, mereka akan menggunakan apa sahaja kaedah atau modus operandi untuk menipu orang dan AI ialah alat baharu yang mungkin digunakan (oleh mereka),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sesi soal jawab bengkel media dan perbincangan panel berhubung isu penipuan kewangan di Lanai Kijang, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, ujar Marzunisham, BNM akan mewujudkan ‘National Fraud Portal’ bagi memantau paparan maklumat akaun bank yang disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah penipuan kewangan di negara ini.
Menurutnya, pembangunan portal yang dijangka dilancarkan pada pertengahan tahun hadapan itu juga merupakan antara langkah BNM dalam membasmi kegiatan jenayah kewangan yang membimbangkan rakyat pada ketika ini.
“Kelebihannya ialah kami mempunyai semua maklumat akaun-akaun (yang dipercayai scammer) ini dalam satu portal di mana bank boleh melihatnya dan kami juga boleh menggunakan teknologi itu untuk melakukan beberapa perkara.
“Satu, kami membangunkan dari segi apa yang kami panggil rangkaian. Kami boleh menganalisis dan melihat akaun mana yang telah digunakan (scammer) untuk meletakkan wang penipuan atau mana-mana akaun yang berkaitan.
“Kedua, juga untuk 'melawan' kewujudan keldai-keldai akaun (mule accounts) yang menjadi alat kepada jenayah kewangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!