KPWKM bantu sedia bantu lancarkan Baitul Mahabbah

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berucap pada Majlis ‘Meraikan Jualan RM1 Juta’ Persatuan Pembangunan Artisans (PPA) pada Selasa. - Foto Bernama.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berucap pada Majlis ‘Meraikan Jualan RM1 Juta’ Persatuan Pembangunan Artisans (PPA) pada Selasa. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membantu melancarkan inisiatif penempatan sementara Baitul Mahabbah bagi kanak-kanak warga asing.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perbincangan awal sebelum ini telah bersetuju supaya KDN menyediakan premis untuk penempatan sementara manakala KPWKM menawarkan khidmat penjaga.

Beliau berkata, ketika ini beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga telah menyatakan kesediaan untuk menerima kanak-kanak warga asing itu di premis mereka.

"Sebenarnya sebelum ini memang KDN sudah berbincang dengan kita (KPWKM) untuk menempatkan di institusi kami, tetapi kalau secara segera itu kami belum mendapat kebenaran lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan jualan RM1 juta Persatuan Pembangunan Artisans (PPA) di sini pada Selasa.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN telah membuka penempatan sementara Baitul Mahabbah bagi kanak-kanak warga asing yang sebelum ini ditempatkan di depot imigresen.

Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menempatkan kanak-kanak berumur kurang 10 tahun di penempatan berkenaan, dan sebagai permulaan terdapat 23 kanak-kanak warga asing serta 10 penjaga terdiri daripada ibu kanak-kanak itu berada di pusat tersebut.

Warga asing terlibat dalam inisiatif itu terdiri daripada kanak-kanak dan ibu kanak-kanak dari Depot Imigresen Bukit Jalil, Depot Imigresen Semenyih, Depot Imigresen KLIA dan Depot Imigresen Eco Millennium Beranang.

Mengenai program hari ini, Nancy berkata, PPA menerusi The Artisans Haven telah mengutip RM1 juta jualan sejak penubuhannya pada 2020.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil jualan itu membuktikan kreativiti serta dedikasi usahawan wanita dan komuniti, selain mencerminkan sokongan pelbagai pihak kepada golongan tersebut.

"Saya difahamkan bahawa 10 peratus dari keseluruhan jualan tersebut datang dari entiti korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin menyokong dan memperkasa komuniti wanita dan perniagaan kecil tempatan.

"Sokongan daripada sektor korporat dan SME ini amat bernilai. Ia bukan sahaja membantu mendorong perkembangan usahawan wanita dan komuniti, malah memberikan impak sosial yang positif,” katanya.

Justeru, beliau menyeru syarikat korporat lain untuk mengikut jejak langkah sama untuk memperkasakan usahawan wanita, komuniti dan individu yang memerlukan bantuan. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!