ASEAN perlu lindungi diri daripada ancaman kuasa besar - Anwar
JAKARTA - Negara-negara ASEAN perlu bersatu dalam mempertahankan rantau ini daripada tindakan memecah belah oleh kuasa besar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sewaktu menyampaikan ucapan pencelahan di hari pertama sesi awal Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, beliau berkata, kesemua negara terlibat perlu sentiasa memegang teguh konsep Kesatuan ASEAN.
Perdana Menteri berkata, blok ASEAN perlu mengukuhkan institusi kapasiti, memperkemas mekanisme dan memastikan pelaksanaan keputusan yang tepat pada masanya.
“Kita sama sekali tidak boleh membiarkan apa jua yang dicapai selama ini, diganggu-gugat oleh pertelingkahan yang tidak terkawal oleh kuasa-kuasa besar ini,” tegasnya lagi.
Menyentuh mengenai penerbitan Peta Standard China 2023, Anwar berkata, Malaysia telahpun mengeluarkan pendirian tegas berhubung isi tersebut.
Beliau berkata isu berkenaan Laut China Selatan perlu ditangani dengan rasional melalui dialog dan konsultasi selaras dengan prinsip perundangan antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Lautan 1982 (UNCLOS)
Anwar berkata, sewaktu awal penubuhan ASEAN, banyak pandangan negatif terhadap kerjasama negara terlibat, khususnya tentang perbezaan dan kepelbagaian yang dilihat satu liabiliti.
Namun katanya lagi, ternyata perbezaan dan kepelbagaian itu akhirnya dijadikan bukti kekuatan sebenar ASEAN.
“Hari ini, mereka yang berada di luar rantau telah mengiktiraf ASEAN sebagai salah satu persatuan yang berjaya, khususnya tentang keupayaannya dalam mengekalkan keamanan, keterjaminan dan kemakmurannya.
“Ini bagaimanapun telah menarik perhatian pihak luar untuk mewujudkan kerjasama dengan ASEAN, termasuk kuasa-kuasa besar, yang pertelingkahan mereka berlaku di tengah-tengah dan selari dengan rantau kita,” katanya Anwar.
Perdana Menteri berkata, persaingan antara kuasa-kuasa besar itu telah memberi kesan kepada pelaksanaan inisiatif dan kerjasama di bawah mekanisme ASEAN seperti Persidangan Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN.
Atas sebab itu, beliau menegaskan, ASEAN mempunyai kesempatan yang unik melalui platform tambahannya, untuk membawa bersama-sama pihak yang bersaing ini, dan mengingatkan mereka keperluan dan kepentingan untuk mengutamakan dialog dan kerjasama, bagi mempromosi persaingan sihat dan memastikan keamanan berkekalan di rantau ini. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!