UMK sasar universiti keusahawanan nombor satu

Hussamuddin menyampaikan watikah pelantikan kepada pensyarah di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota hari ini.
Hussamuddin menyampaikan watikah pelantikan kepada pensyarah di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) optimis untuk mencapai universiti keusahawanan nombor satu di Malaysia dalam masa empat tahun.

Naib Canselor UMK, Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, universiti ini juga menyasarkan untuk menjadi yang terbaik di Asia Tenggara pada 2026 dan Asia menjelang 2030.

Bagi mencapai hasrat itu, beliau berkata, tenaga pengajar di sini akan menjalani latihan semula dalam bidang keusahawanan sebelum diterapkan kepada pelajar.

“Kita akan perkemas hubungan dalaman antara fakulti, kemudian ke peringkat negeri seterusnya peringkat nasional.

“Selagi tidak mencapai 30 peratus kadar graduan bergelar usahawan, UMK tidak boleh mengaku sebagai universiti keusahawanan yang terunggul,” katanya pada sidang akhbar Pelancaran Gerak Gempur Universiti No 1 di Malaysia pada 2023, Asia Tenggara (2026) dan Asia (2030), hari ini.

Hadir sama Pengarah Pusat Strategik UMK, Prof Datuk Dr Ibrahim Che Omar.

Noor Azizi berkata, dalam tempoh empat tahun akan datang, mereka akan berusaha untuk mencapai sasaran itu berbanding 2.82 peratus pelajar, setakat ini.

Sementara itu, dalam ucapan Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk (Dr) Hussamuddin Yaacub berkata, sifat mengejar peluang, mengambil risiko, memiliki pemikiran kritis dan bertindak pantas dalam setiap peluang juga perlu dipupuk.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sifat-sifat itu diterap dari sekarang kerana tiada tempat untuk orang yang lembab dan terhegeh-hegeh di UMK.

“Apatah lagi jika ingin dinobatkan sebagai universiti nombor satu di Malaysia, Asia Tenggara dan Asia menjelang 2030.

“Bagi mencapai misi itu cara kita bekerja bukan lagi perniagaan biasa tetapi perlu menjadi luar biasa unggul,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!