Lelaki maut, lori dipandu jatuh sungai

Pasukan bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori di Jalan Tun Fuad, Ladang Sungang, Kunak.
Pasukan bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori di Jalan Tun Fuad, Ladang Sungang, Kunak.
A
A
A

KUNAK - Seorang lelaki maut selepas lori yang dipandunya terbabas dan jatuh ke dalam sungai dengan ketinggian 4.5 meter di Jalan Tun Fuad, Ladang Sungang, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, Sanuddin Djidi, 43, yang memandu lori 10 tan itu disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohammad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.33 pagi.

Katanya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer dari BBP Kunak.

"Menurut laporan, kemalangan membabitkan lori muatan kelapa sawit 10 tan jenis Nissan UD yang terbabas sendiri di bahu jalan lalu jatuh ke dalam sungai dengan ketinggian kira-kira 4.5 meter.

"Terdapat seorang mangsa terlibat iaitu pemandu lori yang tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Katanya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.45 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!