'Beras import naik harga, beras tempatan pula habis dijual'
KUALA TERENGGANU - Kenaikan harga beras import menyebabkan orang ramai lebih memilih membeli beras tempatan sebagai alternatif mendapatkan bijiran tersebut pada harga murah.
Tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di sini mendapati pelanggan berdepan kesukaran mendapatkan stok beras tempatan yang sudah terjual dan cepat habis sejak pagi tadi.
Seorang pelanggan, Zaliha Abu Bakar, 60 berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk membeli beras tempatan di pasar raya di sini setelah mengetahui harga dijual berpatutan.
"Saya pergi ke pasar raya ini untuk membuat perbandingan harga. Saya dapati harga beras tempatan dijual di sini murah tetapi malangnya cepat habis.
"Tadi saya pergi ke pasar raya lain dapati harga beras dijual bagi 10 kilogram (kg) nak cecah hampir RM50.
"Jadi saya terus datang ke pasar raya ini, nak cari beras tempatan sebab ia lebih murah memandangkan kos kenaikan sara hidup makin tinggi sekarang," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melaporkan harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa pada 1 September lalu.
Menurut BERNAS, pelarasan itu adalah selari dengan harga global semasa bagi ruji makanan.
Sementara itu, pelanggan, Rohani Mohd Nor, 66 berkata, dia membeli beras tempatan kerana beras import semakin mahal.
"Saya datang nak beli beras tempatan sebab dikatakan murah tapi tengok sudah habis terjual.
"Sebelum ini memang beli beras jenama import tetapi harga dah mahal. Jadi kali ini kita cuba rasa beras tempatan pula namun beras tempatan pun sukar nak dapat sebab kehabisan stok," ujarnya.
Menurut seorang lagi pembeli, Zakaria Mohd Nong, 57, melahirkan rasa kecewa setelah mengetahui beras tempatan yang ingin dibelinya sudah habis terjual sejak pagi.
"Saya nak beli beras tempatan sebagai langkah berjimat. Harga barang makin mahal sebab itu pilih barang yang lebih murah tetapi kebanyakannya sudah kehabisan stok," ulasnya.
Selain itu, suri rumah, Halimah Abdul Ghani, 60, mengakui harga beras import di pasaran kini sudah mahal namun membeli mengikut keperluan tanpa memilih jenama tertentu.
"Saya mempunyai ahli keluarga yang ramai jadi beras seberat 10 kg yang dibeli biasanya habis dalam tempoh dua minggu. Jadi kita beli yang ada (beras) ikut kemampuan," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan beras putih tempatan pulih dalam tempoh sebulan - Mohamad Sabu
Harga beras import naik: Permintaan beras putih tempatan meningkat
Permintaan beras tempatan dapat sambutan
Asingkan kilang beras tempatan, import elak penyelewengan - Cake
Pengilang padi, pemborong beras tingkat bekalan 20 peratus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!