Anwar gesa pemimpin ASEAN beri penekanan penyepaduan ekonomi lebih kukuh
JAKARTA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa pemimpin ASEAN untuk memberi penekanan kepada penyepaduan ekonomi yang lebih kukuh dalam perkumpulan itu dan berusaha bersungguh-sungguh membangunkan kerangka ekonomi serantau yang dinamik, inklusif, mampan dan berdaya tahan.
Beliau berkata, perdagangan sesama ASEAN yang kini hanya berada pada 22.3 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN harus ditingkatkan dan penyusunan strategik yang lebih besar perlu dilakukan untuk meningkatkan penyepaduan pasaran.
"ASEAN juga harus memudahkan pergerakan barangan, modal, tenaga kerja mahir dan perkongsian teknologi dalam kalangan negara anggota dan rakan luarnya.
"Kerjasama dengan rakan luar untuk menyumbang ke arah matlamat ini juga perlu dipertingkat,” katanya pada sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43, yang diadakan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia bersedia untuk menyumbang melalui Rangka Kerja Ekonomi Madani yang merangkumi langkah-langkah ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan, dan mengukuhkan industri untuk menjadi lebih inovatif, berdaya saing, dan mampu berkembang ke pasaran serantau dan global.
Menurut Perdana Menteri, ASEAN telah mencapai kemajuan sosio-ekonomi yang belum pernah dicapai sebelum ini, daripada mengurangkan tahap kemiskinan hinggalah kepada meningkatkan perdagangan antara wilayah dan memajukan inovasi teknologi.
Beliau berkata perkumpulan itu mempunyai gabungan keluaran dalam negara kasar berjumlah hampir AS$3 trilion (AS$1=RM4.65) walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, menjadikan blok itu sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia dan diunjurkan menjadi yang keempat terbesar menjelang 2030. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!