74 pengunjung pusat hiburan 'lalok' ditahan

Sebahagian pengunjung pusat hiburan yang ditahan dalam serbuan berkenaan.
Sebahagian pengunjung pusat hiburan yang ditahan dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan seramai 74 individu yang didapati positif dadah hasil serbuan di dua premis hiburan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil saringan awal air kencing kesemua 74 individu melibatkan 54 lelaki dan 20 perempuan berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun itu didapati positif dadah jenis ketamin, tetrahdyrocannabino (THC), benzo dan methamphetamine.

Beliau berkata, dua individu dipercayai bertugas selaku juruwang di pusat hiburan berkenaan turut ditahan.

"Serbuan sekitar 1.30 hingga 3 pagi itu turut menyaksikan seramai 253 individu yang sedang berhibur turut diperiksa.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis tersebut memiliki lesen perniagaan yang sah tetapi beroperasi melebihi tempoh yang dibenarkan," katanya.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah undang-undang berikut, Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98.

"Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek telah direman selama dua hari mulai 5 hingga 6 September 2023 untuk siasatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!