PRK: Semua kaunter CIQ dibuka mudahkan pengundi pulang

Imigresen akan membuka kesemua kaunter di dua pintu masuk negara, di Johor bermula Jumaat ini bagi memudahkan rakyat negeri itu pulang mengundi, pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
Imigresen akan membuka kesemua kaunter di dua pintu masuk negara, di Johor bermula Jumaat ini bagi memudahkan rakyat negeri itu pulang mengundi, pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) akan membuka kesemua kaunter di dua pintu masuk negara, di Johor bermula Jumaat ini bagi memudahkan rakyat negeri itu pulang mengundi, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, pihaknya memberikan komitmen sepenuhnya, bagi memastikan kelancaran pulang pemilih yang tinggal dan bekerja di Singapura, untuk mengundi pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kaunter khas akan dibuka untuk pengundi di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

"Tiada kaunter khas untuk pengundi. Komitmen imigresen ialah buka semua kaunter bermula Jumaat, iaitu sehari sebelum hari mengundi bagi kedua-dua PRK,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, di sini pada Selasa.

Baharuddin berkata, secara keseluruhan, terdapat sebanyak 236 kaunter masuk dan keluar imigresen di CIQ BSI yang terdiri daripada kaunter motosikal (100), kereta (60), bas (36) dan autogate (40).

"Di KSAB pula, terdapat 162 kaunter masuk dan keluar dengan kaunter motosikal (50), kereta (48), bas (52) dan autogate (12),” katanya.

Baharuddin berkata, jabatan itu akan menempatkan seramai 2,000 pegawai dan anggota imigresen untuk bertugas di kedua-dua pintu masuk itu, dengan pengoperasian pada kadar 85 peratus.

PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram dijalankan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.

Artikel Berkaitan:

SPR menetapkan pengundian awal hari ini dan hari mengundi pada Sabtu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!