Terengganu tingkat pengeluaran beras penuhi permintaan tempatan

Dr Azman (kanan) meninjau kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan di Skim Padi Gong Telikong Besut yang dibiayai oleh Kerajaan Terengganu.
Dr Azman (kanan) meninjau kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan di Skim Padi Gong Telikong Besut yang dibiayai oleh Kerajaan Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri melalui anak syarikat Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) akan meningkatkan pengeluaran beras bagi memenuhi permintaan khususnya dalam kalangan pengguna tempatan dan luar Terengganu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pengeluaran beras Super Special Tempatan (SST) di bawah jenama Beras Ganu MyGAP akan ditingkatkan sebanyak 100 tan metrik sebulan berbanding 60 tan metrik dalam tempoh sama sejak Julai lalu.

Menurutnya, TADC membungkus dan mengedar beras berkualiti tinggi dari sawah padi tempatan yang mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP.

"Kerajaan Negeri terus bekerja keras bagi meningkatkan pengeluaran beras negeri dengan beberapa strategi antaranya pembukaan sawah padi baharu, mengekalkan sawah padi sedia ada tanpa ditukar syarat, menaik taraf infrastruktur ladang serta sistem pengairan dan kesuburan tanah.

"Selain itu, kita juga akan menaik taraf kawasan penanaman sekali setahun kepada dua kali setahun bagi membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, TADC akan bekerjasama dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk mendapatkan tambahan beras selepas penanaman padi musim pertama di Terengganu berakhir pada Jun lalu.

Katanya, sebanyak RM270,000 dibelanjakan oleh TADC bagi untuk pembelian beras daripada beberapa kilang padi di negeri ini bagi proses pembungkusan sebelum dibekalkan kepada pengedar tunggal yang dilantik untuk dipasarkan.

"Sementara menunggu pengeluaran padi musim kedua, kita akan membeli beras tempatan dikeluarkan beberapa kilang Bernas di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Pembelian beras tempatan dari kilang Bernas diperlukan untuk menampung permintaan sumber makanan ruji oleh penduduk di negeri ini," kata Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi itu.

Mengulas mengenai kenaikan beras import sejak Jumaat lalu, beliau berkata, ketetapan harga bagi barangan itu di bawah kawalan Bernas.

Dr Azman (kanan) bersama Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh meninjau proses tanaman padi di negeri itu.
Dr Azman (kanan) bersama Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh meninjau proses tanaman padi di negeri itu.

"Siapa pun pengedar dan pembungkus, perlu patuh kepada harga siling yang ditetapkan. Walaupun berlaku kenaikan harga beras putih import, kita di Terengganu akan pastikan tiada kenaikan harga beras keluaran TADC.

"Harga Berasganu My GAP kini dijual pada harga RM12.90 bagi setiap lima kilogram (kg) dan RM25.60 bagi setiap 10kg," katanya.

Dalam pada itu, Dr Azman berkata, jumlah pengeluaran padi di negeri ini meningkat kepada 75,013 tan metrik pada 2021 berbanding 73,068 tan metrik pada 2020.

"Kita berdepan penurunan hasil pengeluaran padi pada tahun lalu disebabkan faktor banjir luar jangka yang berlaku pada bulan Februari dan Disember. Banyak kawasan padi dan tanaman lain musnah dan turut berdepan serangan wabak penyakit,"katanya.

Untuk rekod, padi dihasilkan pesawah di Terengganu diproses di beberapa kilang antaranya termasuk di Kilang Padi Konsortium PP Terengganu Sdn Bhd milik Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kampung Dalam Oh, Jabi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan beras putih tempatan pulih dalam tempoh sebulan - Mohamad Sabu

Harga beras import naik: Permintaan beras putih tempatan meningkat

Selesai masalah bekalan beras

Permintaan beras tempatan dapat sambutan

Asingkan kilang beras tempatan, import elak penyelewengan - Cake

Pengilang padi, pemborong beras tingkat bekalan 20 peratus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!