Tiga jam keluarkan mangsa runtuhan batu kapur

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat dalam kejadian runtuhan batu kapur di sebuah tapak kuari di Jalan Cameron Highlands-Keramat Pulai dekat Simpang Pulai pada Selasa.
Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat dalam kejadian runtuhan batu kapur di sebuah tapak kuari di Jalan Cameron Highlands-Keramat Pulai dekat Simpang Pulai pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan seorang pekerja asing yang maut dalam kejadian runtuhan batu kapur di sebuah tapak kuari di Jalan Cameron Highlands-Keramat Pulai dekat Simpang Pulai pada Selasa.

Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, kerja-kerja menyelamat mangsa yang dikenali Sohail Sajjad, 36, warganegara Pakistan menghadapi kesukaran kerana berlaku runtuhan kecil batu kapur ketika operasi berkenaan.

Menurutnya, operasi terpaksa dihentikan sementara pada jam 1.45 petang kerana berlaku runtuhan kecil di lokasi kejadian bagi memastikan anggota yang terlibat dalam keadaan selamat.

"Mangsa ditemui di bawah mesin jengkaut dalam keadaan tangan sebelah kiri dihempap batu kapur. Keadaan itu menyebabkan operasi menyelamat mengambil masa dan akhirnya jasad mangsa yang sempurna berjaya dikeluarkan pada jam 2.36 petang.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tersebut juga membabitkan 20 anggota terdiri daripada anggota STORM (Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, polis, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG)," katanya kepada pemberita di BBP Simpang Pulai di sini pada Selasa.

Sayani (dua dari kiri) ketika meninjau kerja-kerja menyelamat mangsa runtuhan batu kapur.
Sayani (dua dari kiri) ketika meninjau kerja-kerja menyelamat mangsa runtuhan batu kapur.

Sementara itu, Sayani berkata, difahamkan kejadian berlaku selepas mangsa bersama dua rakannya sedang mengendalikan jengkaut untuk mengalihkan batu di kawasan tersebut sebelum berlaku runtuhan.

Katanya, ketiga-tiga mereka melarikan diri namun mangsa bagaimanapun berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal di dalam jengkaut tersebut menyebabkan tertimbus dalam runtuhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lokasi kejadian juga berlaku di bukit yang sama dengan jarak kira-kira 3km dalam insiden runtuhan mengorbankan dua warga tempatan pada Mac tahun lalu.

Pada 8 Mac 2022, media melaporkan dua mangsa warga tempatan maut selepas tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!