Tiga cedera ringan, polis bantuan tertembak lantai bank
JASIN - Tiga cedera ringan apabila seorang polis bantuan lelaki dipercayai terlepas tembakan ketika berurusan di sebuah bank di Pekan Jasin, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi, berkata pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kejadian itu pada jam 12.55 tengah hari.
Menurutnya, individu berusia 59 tahun dan bertugas sebagai polis bantuan di sebuah ladang datang ke bank itu untuk urusan gaji pekerja dan secara tidak sengaja telah tertembak ke arah lantai premis berkenaan menggunakan senapang jenis Vinwinchester.
"Tembakan itu menyebabkan seorang pengawal keselamatan lelaki berusia 25 tahun mengalami luka kecil di bahagian atas telinga kanan.
"Manakala dua perempuan masing-masing berusia 28 dan 46 tahun mengalami kecederaan ringan dan luka kecil di bahagian paha dan betis kaki kiri disebabkan terkena serpihan batu mozek lantai bank tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Tambahnya, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 selain polis turut merampas senapang Vinwinchester model 1200 GA 2.3 chamber siri L 1207477 berserta kelongsong peluru.
Sementara itu saksi kejadian Nurul Ain Jumaat, 20, yang bekerja di sebuah kedai telefon bimbit berkata, ketika insiden itu dia sedang berurusan untuk memasukkan duit di kaunter bank.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi satu tembakan kuat dari arah belakang dan saya sangka bank sedang dirompak.
"Namun saya ternampak seorang polis bantuan dalam keadaan tergamam sambil terlihat lantai jubin bank pecah dipercayai kerana tembakan itu," katanya.
Ujarnya, polis bantuan lelaki berusia 50-an dilihat masih terkejut dengan kejadian itu sebelum kakitangan bank meminta pelanggan beredar dari premis terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!