Penduduk Kampung Seri Kempas berisiko hilang tempat tinggal
JOHOR BAHRU - ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian mencadangkan kerajaan Persekutuan supaya menimbangkan untuk membina rumah mampu milik di Kampung Seri Kempas.
Menurutnya, cadangan tersebut susulan penduduk di kawasan berkenaan berisiko kehilangan kediaman kerana rumah mereka dibina di atas tanah Kementerian Sumber Manusia.
"Saya dapat makluman kementerian nak bina kompleks Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tapi sejauh mana projek itu saya tak pasti.
"Kalau benar kerajaan nak bangunkan kawasan berkenaan penduduk akan kehilangan 500 tempat tinggal yang telah dibina di situ sejak 30 tahun lalu," katanya pada program Sehari PKM Bersama Masyarakat di Kampung Seri Kempas 2 di sini semalam.
Sehubungan itu, katanya, beliau memohon jasa baik kerajaan Persekutuan supaya bangunkan rumah mampu milik atau harga sederhana untuk diberikan kepada penduduk di situ dengan harga berpatutan.
"Saya ada bincang dengan timbalan menteri, kalau boleh minta kementerian tidak ambil semua tanah di sini.
"Sebahagiannya kita minta serah kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk bina rumah mampu milik yang dicadangkan itu," katanya.
Osman berkata, 20 tahun menjadi wakil rakyat di Kempas, beliau tidak menafikan memang ramai penduduk yang memohon geran bagi tanah didiami itu.
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut tidak dapat dipenuhi kerana tanah dipohon milik kementerian.
"Sebab itu saya minta kerajaan Persekutuan supaya beri kepada KPKT untuk dibina rumah mampu milik lagipun kerajaan memang nak bina 1 juta rumah dalam tempoh lima tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!