Segera kaji pengasingan kuasa AG, Pendakwa Raya - TI-Malaysia
SHAH ALAM - Kerajaan didesak untuk segera mengkaji pengasingan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya bagi memastikan tidak timbul konflik kepentingan dalam kes mahkamah berprofil tinggi.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Dr Muhammad Mohan menegaskan, reformasi institusi berkenaan juga boleh membuktikan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah menerusi tindakan serius dengan menangkap dan mendakwa pesalah yang menggelapkan dana awam.
Namun beliau berkata, sekiranya tiada tindakan drastik terhadap orang yang melakukan rasuah, amat sukar bagi Malaysia melakukan perubahan positif dalam skor Indeks Persepsi Rasuah Global (CPI) dan kedudukan global.
"Antara langkah yang digunakan dalam skor CPI adalah komitmen untuk memerangi rasuah dan pendakwaan yang sewajarnya terhadap pegawai yang menyalahgunakan kuasa.
"Sekiranya ada kes rasuah berprofil tinggi yang dalam perbicaraan telah diputuskan, terutamanya setelah pihak pendakwaan membuktikan ianya kes prima facie, maka kemungkinan besar ini akan memberi kesan negatif terhadap skor CPI negara.
"Perkara lain yang perlu diberi perhatian juga adalah persepsi masyarakat dalam dan luar negara terhadap keputusan ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Muhammad berkata, kepercayaan rakyat terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC) telah tercalar susulan keputusan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas 47 tuduhan rasuah dalam perbicaraan Yayasan Akalbudi.
Menurut beliau, AGC perlu menjalankan tanggungjawab bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai keputusan pihak pendakwaan yang memohon menghentikan perbicaraan selaras dengan kuasa Peguam Negara di bawah Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
Selain menyifatkan keputusan tersebut mengejutkan semua pihak ekoran ia kes berprofil tinggi, Muhammad menegaskan, sekiranya tiada pertuduhan baharu, maka tertuduh dapat memohon pembebasan penuh dalam beberapa bulan akan datang.
"Umum memahami AG bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan yang memerintah sementara Pendakwa Raya berperanan untuk bertindak secara bebas dalam kes jenayah demi kepentingan umum bagi memastikan keadilan dituntut dan tindakan jenayah dihukum.
"Kepercayaan rakyat terhadap AGC telah tercalar dan ianya hanya mampu dihakis dengan penjelasan yang jelas dan telus berkaitan keputusan yang dibuat oleh pihak berkenaan," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid
Kes Zahid: Muda adakan mesyuarat tergempar - Syed Saddiq
Kes Zahid: Rasuah Busters tuntut kerajaan kotakan kata
Kes Zahid: Pimpinan Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian - Muda
Kes Ahmad Zahid: Gerakan tuntut penjelasan
Kes Zahid: Muhyiddin persoal tindakan Peguam Negara
Idrus Harun diminta beri penjelasan kes Ahmad Zahid - Anthony Loke
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!