Bung Moktar dakwa kemenangan DAP di PRK Sandakan kerana beli undi
SHAH ALAM - Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kemenangan DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan kerana pembelian undi.
Beliau berkata, pihaknya menerima banyak laporan berhubung dengan pembelian undi namun sukar untuk memujuk pihak yang telah menerima duit untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
"Saya mengalu-alukan tindakan Polis Sabah untuk membuat siasatan lanjut mengenai kes ini dan meminta Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk turut mengambil tindakan sewajarnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Semalam, calon DAP, Vivian Wong Shir Yee memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan dengan memperoleh 16,012 undi menewakan calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491 undi) dalam pertandingan lima penjuru.
Tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah mendapat 788 undi; bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat (126 undi) dan ahli perniagaan, Chia Siew Yung (178 undi), sekali gus hilang wang pertaruhan.
Vivian Wong berjaya mempertahankan kerusi disandang sejak dua penggal lalu oleh bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt yang juga Pengerusi DAP Sabah, menang dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi berbanding 8,996 undi diperoleh lawannya daripada Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon LDP, Datuk Lim Ming Hoo.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, perbuatan itu bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan ketelusan yang diperjuangkan selama ini.
"Kita lihat kemenangan DAP ini bukanlah sebenarnya mereka diterima oleh rakyat tetapi ada banyak faktor lain tetapi tidak mengapa, kita harap mereka buat yang terbaik. Kita juga akan tunggu pembangunan yang dijanjikan oleh DAP di Sandakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!