Pengasuh diberkas dipercayai dera kanak-kanak
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja wanita sebuah pusat asuhan diberkas dipercayai terlibat dalam kes penderaan seorang kanak-kanak di sebuah pusat jagaan, Bandar Sri Permaisuri Cheras di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian berkenaan sebelum itu didapati tular menerusi paparan dua klip video menerusi media sosial.
Menurut beliau, semakan mendapati bapa mangsa sebelum itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian.
"Siasatan menerusi video tersebut mendapati mangsa berumur dua tahun itu dicederakan suspek yang dipercayai pengasuh di pusat jagaan tersebut.
"Hasil siasatan kemudian membawa kepada penahanan suspek berumur 28 tahun yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berkaitan kes itu," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.
Pada Isnin, tular video di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai didera oleh pengasuh di sebuah pusat jagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!