KLSCAH desak kerajaan segera bebaskan sistem pendakwaan
SHAH ALAM - Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) mendesak kerajaan segera melaksanakan kebebasan sistem pendakwaan bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara.
KLSCAH menerusi satu kenyataan pada Selasa berkata, adalah mustahak kepada kerajaan untuk segera mengumumkan jadual waktu untuk pelaksanaan kebebasan pendakwaan itu.
Menurut kenyataan itu, ia susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas tanpa melepaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasa Akalbudi pada Isnin.
"Kami menghormati keputusan kehakiman, namun memandangkan pihak pendakwaan sebelum ini berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, pihak pendakwaan perlu memberi penjelasan yang mencukupi kepada orang ramai untuk keputusan DNAA ini.
"KLSCAH berpendirian bahawa jawatan Peguam Negara adalah pelantikan politik dan tidak seharusnya memegang kedua-dua peranan secara serentak sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan pendakwa yang mempunyai kuasa untuk mendakwa dan menarik balik pertuduhan," kata kenyataan itu.
KLSCAH menegaskan, Kerajaan Perpaduan juga perlu memberi jaminan kepada rakyat bahawa keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tidak sama dengan 'menguji keadaan air' bagi pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula.
"Malah Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim menjanjikan tindakan tegas terhadap rasuah, tetapi keputusan kes Ahmad Zahid telah menjejaskan keyakinan rakyat dan masyarakat sivil terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah.
"Ia menyerupai pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu atau penarikan balik pertuduhan terhadap beberapa tokoh politik yang akhirnya akan kelihatan sebagai tindakan yang merugikan Kerajaan Perpaduan sendiri," kata kenyataan itu.
KLSCAH menjelaskan, hakikatnya pelbagai agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melabur sejumlah besar dana awam dan sumber kerajaan dalam menyiasat kes rasuah yang melibatkan Ahmad Zahid itu.
"Mereka telah menumpukan banyak masa dan usaha untuk ini. Jadi keputusan DNAA tanpa alasan yang mencukupi adalah benar- benar tidak boleh diterima dan tidak meyakinkan. Pengasingan kuasa antara cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman telah menjadi retorik semata-mata.
"Oleh itu, membina semula keyakinan orang ramai terhadap pembaharuan kehakiman adalah penting," tambah kenyataan itu.
Justeru, KLSCAH berkata, kerajaan perlu memastikan walaupun dengan perubahan dalam kepimpinan politik, institusi kehakiman tidak akan memihak kepada mana-mana pihak yang berkuasa selain mesti menghentikan fenomena mengenakan atau menggugurkan pertuduhan secara terpilih terhadap tokoh politik tertentu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid
Kes Zahid: Muda adakan mesyuarat tergempar - Syed Saddiq
Kes Zahid: Rasuah Busters tuntut kerajaan kotakan kata
Kes Zahid: Pimpinan Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian - Muda
Kes Ahmad Zahid: Gerakan tuntut penjelasan
Kes Zahid: Muhyiddin persoal tindakan Peguam Negara
Idrus Harun diminta beri penjelasan kes Ahmad Zahid - Anthony Loke
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!