JAS aktifkan dua pelan tangani jerebu

Pemandangan sekitar ibu negara kelihatan kabur berikutan keadaan jerebu yang melanda.
Pemandangan sekitar ibu negara kelihatan kabur berikutan keadaan jerebu yang melanda.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menyelaraskan tindakan oleh agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, langkah itu dibuat susulan kualiti udara di beberapa kawasan di Kuching, Sarawak, Shah Alam, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan menunjukkan tahap tidak sihat.

"Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

"Selain itu, pemilik tanah juga diminta mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga kawasan di Sarawak menunjukkan tahap tidak sihat setakat jam 6 petang pada Isnin.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU di Sri Aman di tahap sama iaitu 154 manakala Kuching didapati sedikit meningkat kepada 135 termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian (144).

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga kawasan di Sarawak menunjukkan tahap tidak sihat setakat jam 6 petang.

Bacaan IPU di Shah Alam pula mencatatkan sederhana iaitu 98 termasuk Putrajaya (91), Cheras (94), Nilai (92) dan Kota Bharu, Kelantan (58).

Artikel Berkaitan:

Di Semenanjung Malaysia, hanya tiga kawasan di Kedah mencatatkan IPU baik iaitu Kangar (31), Langkawi (24) dan Alor Setar (44).

Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff berkata, pihaknya juga telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!