Kesihatan Sufi Syafrina merosot
SHAH ALAM - Kesihatan Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) jenis 1 merosot dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada awal pagi Selasa.
Bapa kepada bayi berusia enam bulan itu, Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata, Sufi mengalami sesak nafas dan mukanya bertukar pucat kebiruan pada Isnin, kira-kira jam 11 malam.
Dia kemudian membawa anaknya ke sebuah hospital swasta berdekatan di Kajang, namun ditolak kerana kondisi penyakit, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
“Apabila sampai di Hospital Kajang, Sufi dimasukkan ke bahagian kecemasan dan mendapat rawatan sehingga jam 6 pagi. Doktor ada mengambil sampel darah dan tahap oksigen.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ada jangkitan kuman di paru-paru dan dalam darah. Doktor kemudiannya merujuk Sufi ke HTA dan dibenarkan balik kira-kira jam 2.30 petang tadi,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Shafiq, anaknya bergantung dengan bantuan pernafasan dan diberikan antibiotik buat sementara waktu.
Jelasnya, Sufi berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah namun akan dirujuk semula ke HTA pada Rabu untuk rawatan susulan.
Sinar Harian pada 23 Julai lalu melaporkan kisah anak bongsu daripada tiga beradik itu dan melancarkan Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina bagi mengumpul sumbangan RM9 juta untuk suntikan Zolgensma.
Sufi kini bergantung kepada ubat Risdiplam yang berharga RM40,300 untuk tempoh 35 hari bagi mengekalkan tahap kesihatan, selain rawatan bioterapi di Hospital Shah Alam tiga hingga empat kali seminggu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!