Sabah tingkat persiapan Piala AFC di Brunei
SABAH FC mahu memanfaatkan perlawanan persahabatan menentang Brunei Darussalam di Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah pada Rabu, sebagai pentas persiapan rapi sebelum menyingkap Kejuaraan Piala AFC.
Malah, penolong pengendali The Rhinos, Rastislav Bozik juga mahu para pemain yang kurang beraksi sebelum ini mengunakan perlawanan itu sebagai medan meraih minit perlawanan.
"Ini merupakan peluang terbaik untuk para pemain yang kurang mendapat minit permainan mendapatkan semula mood masing-masing selepas beberapa pemain utama Sabah dipanggil menggalas cabaran bersama skuad Harimau Malaya.
“Paling penting para pemain perlu memanfaatkan peluang diturunkan dalam perlawanan untuk membuktikan keupayaan masing-masing sebagai persiapan untuk bersaing di Piala AFC meskipun kami akan beraksi tanpa beberapa pemain utama,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan pada Selasa.
Sementara itu, kapten The Rhinos, Khairul Fahmi Che Mat juga mahu rakan sepasukan mengambil serius dan fokus dalam perlawanan tersebut sebelum bersaing di Kejuaraan AFC.
"Kami akan bermain dalam Kejuaraan AFC, jadi perlawanan menentang Brunei perlu diberikan perhatian apatah lagi ia satu aksi kompetitif dan persiapan yang baik buat Sabah FC,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!