Sahut cabaran selesai kes jenayah
SHAH ALAM - Pengunjung yang hadir ke Jualan Gudang Karangkraf berpeluang merasai sendiri pengalaman menyelesaikan kes jenayah menerusi projek crime scene investigation (CSI) di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini bermula pada 31 Ogos hingga 10 September ini.
Eksekutif pemasaran Grup Buku Karangkraf (GBK), Nurul Shahirah Jasman, 28, berkata, ia merupakan satu daripada pelbagai aktiviti menarik yang disediakan untuk pengunjung selain membeli bahan bacaan yang dijual sepanjang jualan gudang tersebut.
Menurutnya, aktiviti itu dijalankan secara percuma dan terbuka kepada semua lapisan usia supaya pengunjung dapat meluangkan masa menyertai projek tersebut sambil memilih buku-buku yang dijual.
“Ini adalah satu daripada pelbagai aktiviti yang kami sediakan sepanjang jualan gudang berlangsung.
“Selepas pengunjung membeli buku, mereka boleh sertai projek CSI kerana aktiviti ini dapat menguji minda,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Jualan Gudang Karangkraf kali pertama berlangsung selama 10 hari iaitu bermula pada 27 Januari dan berakhir 6 Februari lalu dengan tawaran diskaun dari 15 hingga 80 peratus mengikut jenis buku.
Mengulas lanjut, Nurul Shahirah berkata, kesemua watak yang diwujudkan dalam bilik projek CSI adalah hasil kreativiti pihak pengurusan GBK dan ia hanya rekaan semata-mata.
“Watak mangsa pembunuhan iaitu Hazril bersama beberapa lagi yang lain seperti Aiman, Laila dan Ayra adalah rekaan sahaja.
“Kami tidak mengambilnya daripada mana-mana buku atau novel dan semuanya hasil kreativiti daripada pasukan kami,” katanya.
Diskaun tambahan untuk pemegang kad VIP Karangkraf Sementara itu, tawaran diskaun 'tambahan sebanyak 20 peratus akan diberikan khusus buat pemegang kad VIP yang berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf bermula 31 Ogos hingga 10 September ini.
Nurul Shahirah Jasman berkata, pengunjung yang mengunjungi jualan gudang itu dapat membeli buku pelbagai genre menerusi potongan harga dengan hanya mendaftar sebagai ahli.
“Di jualan gudang ini, diskaun hanya sehingga 15 peratus bagi yang bukan pemegang kad ahli VIP Karangkraf, tetapi jika sudah menjadi ahli, mereka (pengunjung) boleh dapat tawaran diskaun sehingga 20 peratus.
“Walaupun ada di antara mereka yang belum menjadi ahli, mereka juga diberikan diskaun, namun bagi pemegang kad VIP, mereka ada keistimewaan iaitu diskaun tambahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jualan Gudang Karangkraf buat kali kedua tahun ini kembali menemui pengunjung selepas ia diadakan pada Januari lalu.
Pada kali ini, promosi diadakan dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus bagi buku-buku terpilih di Kompleks Karangkraf di sini.
Nurul Shahirah berkata, pengunjung yang ingin memiliki kad VIP Karangkraf boleh membuat pendaftaran di kaunter yang tersedia di pintu masuk kompleks berkenaan.
“Pengunjung boleh mendaftar dengan hanya mengimbas kod QR terlebih dahulu, isi maklumat dan membuat pembayaran RM10 sahaja.
“Kad ini dalam bentuk digital sahaja dan ia boleh digunakan seumur hidup apabila pengunjung mahu membeli buku di jualan gudang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!