Kes Ahmad Zahid: Saya tidak campur tangan - Anwar

Anwar (tengah) dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada pertemuan dengan rakyat Malaysia dan sahabat-sahabat Indonesia dalam Program Temu Anwar Jakarta di sebuah hotel pada malam Selasa.
Anwar (tengah) dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada pertemuan dengan rakyat Malaysia dan sahabat-sahabat Indonesia dalam Program Temu Anwar Jakarta di sebuah hotel pada malam Selasa.
A
A
A

JAKARTA - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan berhubung keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, daripada semua 47 pertuduhan dihadapinya.

Perdana Menteri berkata, peguam negara mempunyai kuasa sepenuhnya dalam mengendalikan kes tersebut.

"Jaksa agung (peguam negara) ada wewenang (kuasa) sepenuhnya dan diberikan alasan-alasan. Saya berikan wewenang kepada jaksa agung, kerana dia bicara tentang 200 halaman permohonan baharu oleh Datuk Seri (Ahmad) Zahid.

"...ini keputusan jaksa agung jadi saya tidak campur,” katanya apabila ditanya media tempatan mengenai isu tersebut selepas Program Temu Anwar di sini malam ini.

Ketika ditanya sama ada keputusan tersebut akan memberi persepsi tidak baik terhadap kerajaan, Anwar berkata, ia tidak menjejaskan kredibiliti kerajaan dan menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya yang keras membanteras rasuah.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu, selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Ahmad Zahid sebelum ini telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Artikel Berkaitan:

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari lepas, manakala yang terbaru, lengkap dengan fakta dan bukti baharu, dihantar kepada AGC pada Februari. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid

Kes Zahid: Muda adakan mesyuarat tergempar - Syed Saddiq

Kes Zahid: Rasuah Busters tuntut kerajaan kotakan kata

Kes Zahid: Pimpinan Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian - Muda

Kes Ahmad Zahid: Gerakan tuntut penjelasan

Kes Zahid: Muhyiddin persoal tindakan Peguam Negara

Idrus Harun diminta beri penjelasan kes Ahmad Zahid - Anthony Loke