Ringgit diniagakan dalam julat sempit berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

RINGGIT didagangkan dalam julat sempit apabila dolar AS terus mengukuh di tengah-tengah sentimen berhati-hati berikutan kebimbangan pelabur terhadap prospek ekonomi global yang suram.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6715/6760 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.6615/6655.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi turut menjejaskan permintaan terhadap mata wang sedang pesat membangun.

Sekuriti Perbendaharaan AS bertempoh panjang mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak lapan mata asas kepada 4.26 peratus, manakala Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.52 peratus kepada 104.776 mata.

Beliau berkata data Eropah menunjukkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk ekonomi perkhidmatan rendah daripada jangkaan pada 47.9 mata untuk Ogos, manakala Indeks Harga Pengeluar (IHP) merosot 7.6 peratus pada Julai.

Selain itu, Presiden Bank Pusat Eropah Christine Lagarde juga agak samar-samar tentang mesyuarat Majlis Tadbir minggu depan.

"Kemungkinan penangguhan kenaikan kadar tidak harus diketepikan berdasarkan trajektori inflasi. Justeru, ini akan lebih menyokong dolar AS kerana Rizab Persekutuan kemungkinan mengekalkan kecenderungannya terhadap kadar faedah.

"Dengan itu, gandingan dolar AS/ringgit diunjur kekal dalam julat kecil 4.65 hingga 4.66,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Di dalam negara, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari akan diadakan hari ini dengan pasaran menjangkakan tiada perubahan dalam kadar dasar semalaman (OPR).

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro kepada 5.0074/0122 daripada 5.0088/0131 pada penutup Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1611/1644 daripada 3.1670/1699 tetapi susut nilai berbanding pound Britain kepada 5.8660/8717 daripada 5.8534/8585.

Berbanding mata wang Asean lain, ringgit diniagakan rendah.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.4299/4334 daripada 3.4238/4272 pada penutupan urus niaga Selasa, turun berbanding baht Thai menjadi 13.1414/1592 daripada 13.1388/1567, lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 305.8/306.3 daripada 305.2/305.6 dan mendatar berbanding peso Filipina pada 8.19/8.22 daripada 8.19/8.21. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!