FBF batal dua kejuaraan teratas bola sepak Bolivia

Fernando Costa
Fernando Costa
A
A
A

PERSEKUTUAN Bolasepak Bolivia (FBF) membatalkan dua kejuaraan utama teratas negara Amerika Selatan itu di tengah-tengah siasatan terhadap dakwaan rasuah dan mengatur perlawanan.

Pengumuman itu dibuat selepas badan induk bola sepak Bolivia mengadakan pertemuan luar biasa dengan 17 kelab divisyen satu dan perwakilan daripada sembilan persatuan bola sepak serantau untuk menentukan masa depan kejuaraan liga kebangsaan serta Piala Simon Bolivar.

FBF sebelum ini memfailkan aduan jenayah kepada pejabat pendakwa La Paz terhadap pemain, pegawai dan pengadil yang didakwa terlibat dalam rangkaian rasuah untuk menipu perlawanan dan pertaruhan haram dalam bola sepak.

"FBF mengambil keputusan membatalkan kejuaraan 'round robin' dan piala profesional dengan undian 14 menyokong, dua menentang manakala satu berkecuali.

"Keputusan ini diambil disebabkan terdapat fakta petunjuk serius bahawa kedua-dua kejuaraan ini mengalami 'kecacatan'," kata Presiden FBF, Fernando Costa semasa sidang akhbar.

Dalam perkembangan sama, Costa berkata, satu kejuaraan jangka pendek baharu akan berlangsung sehingga akhir tahun ini walaupun memerlukan pengesahan Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), bagi mengisi tempat ke kejohanan antarabangsa pada 2024.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!