Fatwa haram: Bukan landasan raih sokongan pengundi - MPP Amanah

Hasan - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Hasan - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Isu-isu berkaitan dengan hukum Islam tidak boleh dijadikan landasan untuk meraih sokongan dan simpati masyarakat lebih-lebih lagi pada musim pilihan raya.

Setiausaha Majlis Penasihat Pakar (MPP) Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkan ‘fatwa politik’ haram dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai itu dilihat tidak bertanggungjawab, melampau dan tergelincir dari aspek kaedah dan penentuan hukum.

“MPP mengingatkan bahawa tidak wajar mana-mana pihak secara sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Lebih-lebih lagi perkara itu dilafazkan oleh orang yang tidak mempunyai latar belakang yang kukuh dari aspek kekuatan dan disiplin ilmu untuk mengeluarkan hukum agama.

“MPP Amanah berharap agar masyarakat tidak terpengaruh dan terkesima dengan dakyah politik murahan seperti itu yang boleh mengugat keharmonian dan menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat oleh golongan yang tidak sehaluan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam ceramah Perdana di Pulai didakwa meletakkan hukum 'haram' bagi mereka yang mengundi Suhaizan.

Muhyiddin mendakwa tindakan tidak mengundi Suhaizan itu perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan didakwa tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

Sementara itu, ujar Hasan, lebih membimbangkan adalah perkara itu boleh mendatangkan kekeliruan dan kesan tidak baik dari aspek kefahaman serta pemikiran umat.

Artikel Berkaitan:

“MPP berpandangan bahawa kenyataan Tan Sri (Muhyiddin) tersebut adalah tidak wajar dijadikan bahan politik di pentas pilihan raya sekalipun beliau beranggapan ia sekadar madah jenaka semata-mata, namun ia tidak beradab untuk dikeluarkan.

“Oleh itu, MPP berasa khuatir akan pemikiran yang dilontarkan itu amat terpesong dan boleh membawa kepada kegalauan masyarakat.

“Sekalipun kita berbeza pandangan politik, isu-isu yang berkaitan dengan hukum Islam tidak boleh dijadikan landasan untuk meraih sokongan dan simpati masyarakat lebih-lebih lagi pada musim pilihan raya,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!