Pakar psikiatri maut dalam kemalangan di Labuan
LABUAN - Seorang pakar psikiatri muda di Hospital Labuan maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Bukit Kalam, di sini awal hari ini.
Mangsa, Dr Harivin Loganathan, 20-an, baru berkhidmat di Klinik Pakar 1 Unit Psikiatri dan Kesihatan Mental kira-kira enam bulan lepas.
Ketika kejadian pada kira-kira 8 pagi itu, beliau dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.
Butiran mengenai kemalangan itu masih dalam siasatan, tetapi laporan awal menunjukkan motosikal yang ditunggang mangsa berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia, menyebabkan beliau meninggal dunia serta-merta.
Sementara itu, rakan sekerja Dr Harivin menyifatkan mendiang seorang petugas kesihatan yang prihatin dan berdedikasi serta amat komited terhadap kebajikan pesakitnya, selain terlibat aktif dalam program kesihatan mental awam.
Koresponden Bernama secara kebetulan melalui tempat kejadian ketika insiden itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!