Telegram Yang Dipertua Dewan Negara Wan Junaidi digodam
KUALA LUMPUR - Akaun Telegram milik Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak beberapa hari lepas.
Perkara itu disahkan Wan Junaidi dalam kenyataan pada Rabu yang turut memaklumkan hal tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan panggilan ataupun mesej yang mengakui dan menyamar sebagai dirinya, terutama yang melibatkan kewangan atau janji temu.
"Bagi sesiapa yang menerima mesej atau panggilan sebegini, boleh menghubungi pejabat saya di talian 03-26017610 untuk pengesahan lanjut.
Saya amat kesal dengan tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini dan berharap masyarakat tidak mudah terpedaya dengan penipuan sebegini.
"Saya menasihatkan orang ramai agar lebih peka dengan sindiket penipuan melalui pelbagai aplikasi media sosial dan melaporkan tindakan penggodam ini kepada pihak berkuasa," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!