Senda gurau Permaisuri sentuh hati peniaga, pengunjung Pekan Nabalu
KOTA BELUD - Kunjungan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Pekan Nabalu dekat sini, nyata menggembirakan peniaga dan pengunjung di pekan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu itu.
Kunjungan Tunku Azizah bersempena dengan Kembara Kenali Borneo itu ternyata sangat ditunggu-tunggu para peniaga dan masyarakat setempat di kawasan itu yang terletak 75 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu dengan tidak melepaskan peluang bersalaman dan bergambar dengan Seri Paduka.
Keterujaan dan kegembiraan peniaga dan pengunjung Pekan Nabalu itu jelas terserlah pada wajah-wajah mereka sehingga ada dalam kalangan mereka termasuk seorang peniaga buah-buahan, Deulin Pangundar tanpa sedar menitiskan air mata kerana terlalu terharu dengan keperibadian Seri Paduka yang amat mesra rakyat.
Bahkan, wanita berusia 65 tahun dari etnik Dusun itu, benar-benar tidak menyangka dapat bersalaman serta beramah mesra dengan Tunku Azizah malah Seri Paduka turut bergurau senda mengusiknya yang kuat melatah.
Bercakap kepada Bernama, Deulin menyifatkan keperibadian dimiliki Tunku Azizah sangat peramah dan mesra rakyat tanpa membezakan martabat Seri Paduka sebagai Raja Permaisuri di negara ini.
"Permaisuri beramah mesra dengan saya seperti orang biasa.
Saya ini orang kampung di bahagian hulu tetapi Permaisuri boleh memahami dan saya boleh rasa (keperibadian mesra rakyat Tunku Azizah).
Saya tidak sedar apa saya cakap (semasa melatah) dan lepas itu ada perasaan malu pula.
"Tidak tahu apa sahaja yang keluar di mulut saya ketika itu.
Jadi, saya minta maaf betul-betul (benar-benar minta maaf) kepada Tuanku Permaisuri...tadi Permaisuri usik saya untuk menari dan saya pun menari," kata penduduk dari Kampung Taginnabur, Kota Belud itu.
Berkongsi perasaannya lagi, Deulin berkata, berpeluang bertemu Tunku Azizah secara bersemuka membuatkan perasaannya amat teruja dan sangat gembira sehingga tidak terkata.
"Sungguh luar biasa, gembira betul-betul (sangat gembira).
Saya bersyukur betul-betul (sangat bersyukur) dan saya berharap Permaisuri atau Agong (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) nampak keadaan sebenar di Sabah khasnya bangsa Dusun iaitu antara Orang Asal di negeri ini.
"Saya harap Agong dan Permaisuri akan datang ke sini lagi," kata warga emas itu.
Sementara itu, seorang lagi peniaga kraf tangan Dulia Dasim, 60, menzahirkan perasaan gembira dan teruja untuk berjumpa dengan pasangan diraja berkenaan.
"Saya berniaga hampir 25 tahun di sini dan ini kali pertama pasangan diraja datang melawat kami di sini...sudah semestinya ini hari yang kami tunggu-tunggu, apabila lihat sambutan yang dilakukan di Tawau baru-baru ini...kami di sini pun tidak mahu kalah," katanya yang menetap berhampiran pekan berkenaan.
Seorang lagi peniaga sayur-sayuran Anduh Bailun, 67, dari Kampung Pantok Kiulu berkata, sepatutnya hari tamu (pasar mingguan) di Pekan Nabalu adalah esok, namun beliau datang hari ini semata-mata untuk berjumpa dengan Seri Paduka.
"Kami gembira kerana Pekan Nabalu dipilih sebagai lokasi dilawati dalam Kembara Kenali Borneo.
Kalau boleh saya juga mahu bersalaman dan bergambar dengan Agong...inilah masanya, bila lagi kita ada peluang untuk berjumpa dengan pasangan diraja," katanya yang berniaga di tempat itu sejak 30 tahun lepas.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah dijadual bergerak untuk meneruskan Kembara ke Kota Kinabalu hari ini.
Seri Paduka berdua kini berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!