PRK: Suhaizan mahu naik taraf pelancongan kampung Orang Asli

Suhaizan (tengah) melihat penduduk Kampung Bakar Batu membersihkan hasil laut untuk dijual.
Suhaizan (tengah) melihat penduduk Kampung Bakar Batu membersihkan hasil laut untuk dijual.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perkampungan Orang Asli di Parlimen Pulai yang menjadi tumpuan penduduk sekitar membeli hasil laut, perlu dipromosikan sebagai lokasi pelancongan.

Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata kedudukan perkampungan Orang Asli yang terletak bersebelahan sungai, perlu dimajukan untuk menarik pelancong berkunjung melihat keindahan alam semula jadi.

Jelasnya, antara perkampungan Orang Asli yang terdapat di Parlimen Pulai, ialah Kampung Bakar Batu dan Kampung Sungai Temon.

"Kita akan bangunkan agro pelancongan yang secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan penduduk di sini. Ada bot yang akan bawa pelancong bersiar-siar, kawasan perkampungan orang asli di sini sangat menarik.

"Saya kira bila ada jeti baharu di sini, bukan sahaja tambah kemudahan kepada penduduk Orang Asli di sini tetapi juga menarik lebih ramai pelancong," katanya selepas ziarah kasih di Kampung Bakar Batu, di sini pada Rabu.

Hasil laut seperti kepah dan lokan dijual nelayan di Kampung Bakar Batu.
Hasil laut seperti kepah dan lokan dijual nelayan di Kampung Bakar Batu.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Suhaizan menambah komuniti Orang Asli daripada suku Seletar di Kampung Bakar Batu mahukan wakil rakyat baharu memperjuangan isu perumahan terutama kepada genarasi muda.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tok Batin Kampung Bakar Batu, Kais Kee, 62, berharap wakil rakyat dipilih kelak membantu menyelesaikan isu masyarakat Orang Asli selain membantu ekonomi penduduk yang kebanyakannya bekerja nelayan.

"Masalah rumah bagi generasi anak muda di sini perlu diberikan perhatian. Ramai yang mahukan rumah yang lebih selesa untuk anak-anak dan keluarga.

"Selain itu, ekonomi penduduk di sini juga perlu dibantu dengan sektor pelancongan yang boleh menambah pendapatan," katanya.

Penduduk, Man Endah, 42, berkata, gerai lebih moden boleh dibangunkan di kawasan kampung untuk memudahkan nelayan menjual hasil laut seperti kupang, kerang dan ikan.

"Kalau ada gerai-gerai yang dibina berdekatan jeti nelayan, mudah untuk hasil laut dipasarkan. Secara tidak langsung tarik orang luar datang ke kampung kami," katanya.

Ridzuan Kais, 40 seterusnya menggesa agar kerajaan memberi perhatian tentang keadaan Sungai Skudai yang menjadi lubuk rezeki yang perlu didalamkan.

"Sungai Skudai sekarang sempit disebabkan kawasan sekitarnya yang semakin membangun. Perhatian serius perlu diberikan untuk mendalamkan sungai di sini, jika tidak susah nelayan hendak cari rezeki," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!