'Saya dapat pasport sementara melalui proses mahkamah' - Syed Saddiq
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan situasi beliau menerima pasport sementara itu berbeza dengan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila pasukan pendakwaan dan Pejabat Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding tersebut.
Syed Saddiq berkata, ketika memohon pasport sementara, pihak Peguam Negara membantah dan beliau melalui peguam perlu berhujah di mahkamah.
"Saya dapat pasport sementara melalui proses mahkamah.
“Alhamdulillah, ya hakim percaya kepada hujah kami dan pasport dipulangkan. Itu barulah keputusan mahkamah,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri forum kepimpinan belia di Indonesia pada Selasa.
Dalam pada itu, ujar Syed Saddiq, bagi kes Ahmad Zahid pula, ia sudah berjalan empat tahun kerana ditangguhkan beberapa kali selain melibatkan 100 saksi dipanggil dan beribu muka surat bukti dokumentasi telah dibentangkan.
“Dah sampai ke peringkat terakhir sebelum keputusan kes tiba tiba, satu per satu ‘keajaiban’ berlaku.
“Terus kes digugurkan. Bukan mahkamah atau hakim yang putuskan. Lantikan peguam kerajaan baharu yang putuskan,” ujarnya.
Menurutnya, rakyat dinasihatkan supaya tidak mudah ditipu dengan mereka yang gila kuasa.
“Dulu kata lain, kini buat lain. Tangan kiri lawan rasuah, tangan kanan menormalisasikan rasuah. Masa depan negara kita digadaikan demi nafsu kuasa,” ulasnya.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu, selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.
Ahmad Zahid sebelum ini telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid
Kes Zahid: Muda adakan mesyuarat tergempar - Syed Saddiq
Kes Zahid: Rasuah Busters tuntut kerajaan kotakan kata
Kes Zahid: Pimpinan Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian - Muda
Kes Ahmad Zahid: Gerakan tuntut penjelasan
Kes Zahid: Muhyiddin persoal tindakan Peguam Negara
Idrus Harun diminta beri penjelasan kes Ahmad Zahid - Anthony Loke
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!