Tambahan dua operator atasi masalah kelewatan - Arul Kumar
SEREMBAN - Bagi mengatasi masalah tempoh lama menunggu yang dihadapi oleh penumpang bas ekspres dari Seremban ke Kuala Lumpur pada waktu pagi, dua lagi operator yang mengendalikan perkhidmatan itu telah dilantik.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, ia menjadikan jumlah operator yang dilantik oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengendalikan perjalanan ke destinasi tersebut kepada tiga operator dengan 15 bas kesemuanya.
"Dengan adanya tiga operator tersebut bagi waktu puncak dari jam 5 pagi sehingga 7.30 pagi (Seremban ke Kuala Lumpur) dan bagi waktu puncak di sebelah petang dari jam 4.30 petang sehingga 8.30 malam (Kuala Lumpur ke Seremban), perkhidmatan bas dapat disediakan untuk setiap 15 minit.
"Bagi waktu luar puncak pula adalah 30 minit dan ini akan menyelesaikan masalah tempoh masa menunggu yang lama dihadapi penumpang," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Menurutnya, sebelum Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bilangan pengguna bas ekspres untuk laluan Seremban ke Kuala Lumpur kira-kira 2,000 orang setiap hari, namun telah berkurangan kepada 650 orang.
Bagaimanapun katanya, beliau yakin dengan perkhidmatan tambahan itu, bilangan pengguna akan kembali meningkat.
"Bas ekspres daripada Seremban ke Kuala Lumpur masih menjadi pilihan penduduk sekitar Seremban terutamanya yang bekerja di Lembah Klang.
"Aduan yang diterima sebelum ini adalah berkaitan tempoh masa menunggu yang lama disebabkan hanya satu operator sahaja menyediakan perkhidmatan bas ekspres dari Seremban ke Kuala Lumpur dan kini kita telah mengatasinya," katanya.
Menerusi hantarannya, beliau memaklumkan telah mengadakan lawatan ke Stesen Terminal 1 di Seremban bersama APAD untuk melihat perkhidmatan bas di situ.
Selain itu katanya, Sistem Jualan Tiket Bas Secara Berpusat juga telah diperkenalkan di Terminal 1 bermula Jumaat lalu.
"Melalui sistem itu, pengguna boleh membeli tiket untuk semua laluan bas ekspres dan operator secara dalam talian iaitu www.terminal1.my.
"Ia sekali gus akan mengurangkan tempoh masa menunggu di Terminal 1 dan hanya bagi laluan Seremban ke Kuala Lumpur sahaja masih menggunakan cara lama, namun dalam proses terakhir untuk dimasukkan dalam sistem jualan tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!