MSN perkenal tiga rakan penaja rasmi LTdL 2023

Ahmad Shapawi (dua dari kanan) bersama barisan penaja rasmi LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil sebentar tadi.
Ahmad Shapawi (dua dari kanan) bersama barisan penaja rasmi LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil sebentar tadi.
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) memperkenalkan tiga penaja rasmi perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bakal berlangsung dari 23 hingga 30 September ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, tiga rakan penaja rasmi LTdL kali ini ialah PACE, TikTok Malaysia dan Dahua Technology dengan nilai keseluruhan penajaan berjumlah lebih RM1 juta.

"PACE akan menjadi pembekal pakaian dan barangan rasmi, TikTok Malaysia pula sebagai penaja media sosial rasmi, manakala Dahua Technology menjadi pembekal peralatan dan perkhidmatan komunikasi LTdL 2023.

"Saya percaya kehadiran ketiga-tiga rakan penaja rasmi akan mempopularkan lagi perlumbaan LTdL kali ini, selain dapat melancarkan perjalanan dan keselesaan perlumbaan kepada para petugas.

"MSN merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian tiga rakan penaja ini yang akan bersama-sama memeriahkan LTdL 2023," katanya ketika sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sebentar tadi.

Difahamkan, nilai tajaan daripada TikTok Malaysia berjumlah RM500,000, PACE sebanyak RM550,000, manakala Dahua Tecknology - sebuah syarikat yang berpangkalan di Hangzhou, China tampil dengan penajaan RM260,000.

"MSN bertuah kerana PACE bersetuju membekalkan jersi-jersi pemenang, selain menyediakan pakaian rasmi dan barangan cenderamata kepada petugas LTdL termasuk barangan jualan kenang-kenangan kepada orang ramai.

"TikTok Malaysia pula akan membantu mempromosikan perlumbaan LTdL (2023) secara lebih meluas di platform media sosial mereka termasuklah siaran secara langsung dan paparan kandungan LTdL secara lebih kreatif.

Artikel Berkaitan:

"Dahua Technology akan menyediakan peralatan radio komunikasi dan kamera badan berteknologi tinggi bagi membantu tugas komisar khususnya komisar bermotosikal untuk merakam insiden penting," jelasnya.

Mengikut jadual, LTdL 2023 yang memasuki edisi ke-27 membabitkan lapan peringkat perlumbaan - bermula di Kerteh, Terengganu sebelum kemuncaknya berakhir di Kuala Lumpur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!