MPS roboh premis perniagaan haram atas tanah rizab kerajaan
GOMBAK - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan premis perniagaan yang dibina atas rizab kerajaan secara haram di Jalan Gombak di sini dalam operasi bersepadu pada Selasa.
MPS dalam satu kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil selepas pemilik bangunan berkenaan ingkar dengan notis amaran dikeluarkan MPS pada 17 Ogos lalu.
Menurutnya, seramai 29 anggota MPS diketuai pegawai bahagian penguat kuasa MPS, Azman Hisyam Kamarudin terlibat dalam operasi penguatkuasaan tersebut.
"Tindakan membina struktur bangunan di atas tanah rizab kerajaan menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (AKTA 133).
"Tindakan tegas diambil itu berdasarkan aduan yang diterima di Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STARS) dan penduduk di kawasan sekitar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pihak berkuasa tempatan itu berkata, operasi bermula jam 10 pagi dan berakhir dua jam kemudian berjalan lancar tanpa sebarang halangan atau provokasi daripada pemilik struktur bangunan dan orang awam.
Menerusi kenyataan sama, MPS mengingatkan semua pemilik struktur bangunan untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
"Pemilik perlu mendapatkan kelulusan daripada MPS terlebih dahulu sebelum mendirikan apa-apa struktur bangunan.
"Langkah itu supaya pembangunan yang dijalankan tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang di bawah kawasan pentadbiran MPS," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!