PTPTN meriahkan Karnival Pendidikan Sinar Bestari 2023

A
A
A

Ahmad Dasuki (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan hadiah kepada Zamri (tiga dari kanan) sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari 2023 di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini pada Selasa.
Ahmad Dasuki (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan hadiah kepada Zamri (tiga dari kanan) sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari 2023 di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini pada Selasa.



SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan sumbangan hadiah kepada para pelajar yang menyertai pertandingan sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari 2023 yang akan bermula pada 8 hingga 10 September ini.

Sumbangan hadiah berupa 190 buah beg sekolah eksklusif berserta kit kelengkapan norma baharu itu diserahkan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid kepada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dalam satu majlis di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, pada Selasa.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarang Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin merangkap Ketua Projek Karnival Pendidikan Sinar Bestari 2023 dan Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.

Ahmad Dasuki ketika ditemui menyifatkan, sumbangan PTPTN sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari 2023 itu merupakan antara usaha pihaknya untuk menyemarakkan kesedaran pendidikan serta penabungan melalui Simpan SSPN dalam kalangan masyarakat khususnya para ibu bapa.

“Sumbangan hadiah sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari 2023 ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada masyarakat.

“Malah, usaha ini merupakan sebahagian daripada agenda utama PTPTN yang sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan masyarakat melalui perancangan serta khidmat nasihat kewangan,” katanya.

Tambah Ahmad Dasuki, daripada keseluruhan jumlah hadiah beg eksklusif PTPTN itu, seramai 130 orang peserta berpeluang untuk membawa pulang hadiah tersebut dalam Pertandingan Bicara Berirama Sekolah Kebangsaan (SK) yang diadakan dalam karnival berkenaan.

AHMAD DUSUKI
AHMAD DUSUKI

Artikel Berkaitan:


Selain itu, 50 buah lagi disediakan kepada para pemenang dalam pertandingan ‘Sinar Bestari Got Talent’ manakala lima buah beg lagi masing-masing akan diberikan kepada para pemenang pertandingan Menulis Cerpen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan pertandingan Bercerita Sirah Nabi SK.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki memberitahu, pihaknya menggalakkan lebih ramai masyarakat khususnya para ibu bapa supaya sentiasa memberi perhatian dalam soal persediaan dana kewangan pendidikan untuk jangka masa panjang.

Katanya, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) merupakan produk di bawah PTPTN yang telah berjaya memberi manfaat besar kepada masyarakat.

“Kalau dilihat sehingga 31 Julai 2023, kita telah menerima deposit berjumlah RM15.65 bilion manakala jumlah akaun (Simpan SSPN) yang dibuka adalah hampir enam juta.

“Berdasarkan jumlah ini, ia menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN,” ujarnya yang menyatakan skim itu turut menawarkan pelbagai insentif kepada para pendeposit antaranya pelepasan taksiran cukai, dividen kompetitif, perlindungan takaful, Geran Sepadan dan lain-lain lagi.

“Orang ramai amat digalakkan untuk berkunjunglah ke booth PTPTN dan Van Kelab Simpanan Pendidikan yang menyediakan pelbagai aktiviti dan hadiah eksklusif daripada PTPTN sempena karnival tersebut,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!