Kembara Kenali Borneo: Bagai bertemu selebriti terkenal atau bintang idola!
KOTA KINABALU - Bagaikan bertemu selebriti terkenal atau bintang idola! Begitulah gambaran suasana dan kemeriahan di kebanyakan tempat yang dilalui konvoi Kembara Kenali Borneo.
Memasuki hari keempat Kembara Kenali Borneo, kehangatan meraikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tetap meriah, menyaksikan sambutan luar biasa daripada rakyat Sabah.
Bahkan keberangkatan paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dalam kembara itu turut dinanti-nantikan masyarakat setempat yang ingin melihat dengan lebih dekat kerabat diraja.
Jeritan keterujaan, sorakan yang kuat serta laungan 'Daulat Tuanku' bersahut-sahutan mengiringi keberangkatan keluarga diraja itu serta rombongan sepanjang perjalanan dari daerah Ranau ke Kota Kinabalu.
Petugas Bernama yang merupakan sebahagian daripada rombongan Kembara Kenali Borneo, melihat sendiri kesanggupan rakyat Sabah yang setia dan sabar menanti keberangkatan Seri Paduka berdua serta rombongan apabila mengetahui keluarga diraja itu akan melalui jalan berdekatan kawasan perumahan mereka.
Keadaan bahu jalan 'tidak putus-putus' dipenuhi dengan segenap lapisan masyarakat terdiri daripada golongan dewasa, pelajar, murid sekolah, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berbaris menunggu pasangan diraja itu serta rombongan di sepanjang perjalanan konvoi Kembara Kenali Borneo dari Pekan Nabalu, Ranau ke Kota Kinabalu sejauh 75 kilometer.
Kebanyakan mereka yang sempat diajukan soalan dari Bernama, meluahkan perasaan seronok dan teruja dapat meraikan dan menyambut keberangkatan Seri Paduka berdua dan keluarga diraja.
Biarpun mengejar masa untuk ke destinasi seterusnya, Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ditemani Tunku Azizah tetap memperlahankan kenderaan untuk melambai, bersalaman dan memberi senyuman ke arah mereka yang menunggu keberangkatan tiba Seri Paduka berdua.
Momen sebegitu antaranya dirakamkan ketika Seri Paduka berdua serta rombongan melalui Jalan Berungis-Tamparuli yang merentasi Jambatan Tamparuli, apabila sepanjang lebih dua kilometer bahu jalan berkenaan dipenuhi orang ramai, yang bermula dari Bulatan Nenas di Pekan Tamparuli.
Bagaikan menghargai dan terharu dengan sambutan itu, kelihatan Yang di-Pertuan Agong spontan melambai dan memberi isyarat tangan berbentuk ‘mini love’ manakala Raja Permaisuri merakamkan detik kemeriahan sambutan orang ramai itu dengan menggunakan telefon bimbit.
Lagu negeri Sabah bertajuk 'Sayang Kinabalu' turut dinyanyikan oleh beberapa pelajar dari pelbagai sekolah ketika Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah melalui jalan berhampiran Pekan Tamparuli itu, sebagai simbolik meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua.
Kehangatan tidak berhenti di lokasi itu sahaja, tetapi ia berterusan di kawasan-kawasan lain antaranya di laluan hadapan Politeknik Sepanggar dengan ratusan penuntut institusi pengajian itu mengerumuni konvoi Kembara Kenali Borneo.
Biarpun cuaca silih berganti antara panas dan hujan renyai, mereka terus sanggup menanti keberangkatan Seri Paduka berdua sambil mengungkapkan ucapan 'Selamat Datang', 'terima kasih', 'hati-hati' dan 'datang lagi ke Sabah' kepada rombongan kembara itu, sekali gus membuktikan keramahan serta keikhlasan penduduk Negeri di Bawah Bayu itu.
Mengikut jadual, sebaik tiba di Kota Kinabalu Yang di-Pertuan Agong dijadual berkenan merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, sementara Raja Permaisuri berkenan melawat Penjara Kepayan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!