Abdul Wahab dapat MyKad selepas 71 tahun
KUALA NERUS - Penantian selama 71 tahun seorang warga emas yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori lembam berakhir selepas berjaya memperoleh dokumen pengenalan diri pada Rabu.
Abdul Wahab Saleh, yang dilahirkan di Kampung Pasir Tinggi dekat sini hanya mempunyai sijil kelahiran bertaraf warganegara namun tidak memiliki kad pengenalan diri (MyKad).
Dia yang pernah jatuh sakit sehingga dimasukkan wad di hospital pada awal Mei lepas mengalami kesukaran dari segi pembiayaan kos rawatan kesihatan.
Lantaran itu, usaha mendapatkan MyKad untuk Abdul Wahab telah diusahakan oleh anak saudaranya, Normah Mamat, 59 yang membuat permohonan bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri tersebut.
Normah berkata, Abdul Wahab tidak pernah berkahwin dan kini dijaga oleh dia bersama kakaknya, Fadilah Mamat, 60.
"Pak cik saya tidak mempunyai kediaman tetap. Dia akan tinggal bersama saya di Kampung Telaga Daing atau di rumah Fadilah di Kampung Pasir Tinggi.
"Saya dan kakak akan menjaga dia secara bergilir-gilir. Pak cik saya tidak pernah menerima perkhidmatan perubatan mahupun kebajikan secara rasmi seumur hidupnya sebelum ini.
"Dia hanya ada surat beranak tetapi tiada kad pengenalan diri. Ini kerana orang-orang dahulu hidup susah dan hidup pindah randah maka tidak sempat nak daftarkan kad pengenalan diri untuk anak-anak mereka," katanya ketika ditemui selepas Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Telaga Daing di sini pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Zamri Misman yang menyerahkan MyKad tersebut kepada Abdul Wahab.
Mengulas lanjut, Normah melahirkan rasa syukur kerana bapa saudaranya itu kini sudah menerima kad pengenalan diri yang sah sekali gus membolehkan menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan ditawarkan oleh kerajaan.
Sementara itu, Zamri berkata, permohonan bagi mendapatkan pengenalan diri itu telah dipermudahkan oleh pasukan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) JPN Terengganu yang telah turun ke lapangan.
"Dengan adanya Mykad membolehkan urusan di hospital dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat disalurkan lebih segera.
"Bagaimanapun Abdul Wahab sebenarnya mempunyai sijil lahir cuma tidak ada kad pengenalan diri kerana tidak dapat diusahakan selama ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Zamri berkata, pihaknya menyeru orang ramai melaporkan di 212 Pejabat JPN seluruh Malaysia untuk membantu mana-mana individu yang mengalami masalah dokumen pengenalan diri.
"JPN akan terus komited dalam menjalankan aktiviti turun padang bagi rakyat mendapatkan perkhidmatan JPN tanpa mengira latar belakang, status, bangsa dan agama serta keberadaan mereka di seluruh negara demi mewujudkan kesejahteraan rakyat.
"Maklumat lanjut berkenaan Program Mekar, orang ramai boleh menghubungi talian telefon 03-8880 7208/7209 atau emelkan ke mekar@jpn.gov.my," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!