Krisis Iran-AS makin tegang
TEHERAN - Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengerahkan kira-kira 5,200 tentera di Iraq, menempatkan pesawat pengebom B-52 dan sistem peluru berpandu Patriot di Timur Tengah telah meningkatkan lagi ketegangan dengan Iran.
“Pemangku Setiausaha Pertahanan telah meluluskan pergerakan kapal perang, USS Arlington dan bateri Patriot ke Pusat Perintah Amerika Syarikat (CENTCOM) sebagai sebahagian daripada permintaan asal pada awal minggu lalu,” CNN memetik kenyataan Pentagon pada Jumaat lalu.
Pentagon berkata, penghantaran itu adalah sebagai persediaan terhadap kesediaan Iran untuk melancarkan operasi serangan terhadap pasukan tentera AS dan kepentingan mereka.
“Jabatan Pertahanan akan terus memantau aktiviti rejim Iran, tentera dan proksi mereka. Kami bukan mahu mencetuskan konflik dengan Teheran sebaliknya hanya langkah siap siaga untuk mempertahankan angkatan tentera dan kepentingan kami di rantau terbabit,” tegasnya lagi.
Washington mempertahankan tindakan itu yang kononnya sebagai tindak balas terhadap kemungkinan ancaman Teheran ke atas angkatan tentera mereka di rantau terbabit.
Pegawai Pentagon turut mengulangi kenyataan bahawa mereka mengambil serius ancaman Iran kerana ia dianggap ‘masih nyata dan boleh dipercayai’.
“Penghantaran USS Arlington adalah untuk meningkatkan keupayaan kawalan dan perintah AS. Abraham Lincoln yang merupakan ‘amaran’ kepada Iran telah merentasi Terusan Suez di Mesir pada Khamis lalu dan kini berlayar di Laut Merah,” lapor media di Washington.
USS Arlington yang membawa kenderaan amfibia dan pesawat bakal menyertai USS Abrahan Lincoln di Teluk yang menjadi titik tolak bermulanya konflik baharu antara AS-Iran.
Menurut laporan CNN memetik sumber risikan, Iran juga mula meningkatkan keupayaan ketenteraan mereka dan dipercayai telah menggerakkan misil balistik jarak dekat serta peluru berpandu cruise ke Teluk Parsi.
Ketegangan antara kedua-dua negara semakin meruncing selepas Teheran pada Rabu lalu mendakwa ia menggantung dua komitmen dipersetujui dengan kuasa dunia di bawah perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang dimeterai pada 2015.
Iran menegaskan keputusan itu dibuat sebagai respons terhadap sekatan unilateral yang dikenakan semula oleh AS yang memberi tamparan hebat kepada ekonomi negara tersebut.
Khamis lalu, Presiden AS, Donald Trump yang bimbang dengan ‘ancaman serius Teheran’ turut menyatakan kesediaan untuk berunding dengan kepimpinan Iran selepas ia membuat keputusan kontroversi menarik diri daripada perjanjian JCPOA pada Mei 2018.
Sementara itu, Presiden Iran, Hassan Rouhani dalam satu kenyataan berkata, negara itu kini berdepan ‘peperangan terhebat’ tekanan ekonomi dan politik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sejak Revolusi Islam 1979.
Beliau memberitahu perpaduan diperlukan untuk menghadapi gelombang tekanan yang didakwa lebih sukar berbanding ketika era perang Iran-Iraq.
“Kami tidak akan putus asa dengan tekanan luar. Kami tidak akan menyerah kalah dan akan cuba mencari jalan penyelesaian,” ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!