Keputusan kes Ahmad Zahid beri kesan kepada PRK - Penganalisis

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipercayai akan memberi kesan terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor dan DUN Pelangai di Pahang.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, tidak mustahil pengundi di ketiga-tiga kawasan tersebut dipengaruhi oleh sentimen penolakan yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

Menurutnya, keputusan PRK tersebut akan menjadi referendum terhadap pembebasan Ahmad Zahid sekiranya calon Pakatan Harapan (PH) tewas kelak.

“Kita nantikan apa signal rakyat dalam ketiga-tiga PRK tersebut, saya percaya ada pihak tidak setuju dengan keputusan mahkamah dan ia mungkin mempengaruhi keputusan pilihan raya.

“Ia akan menambah keyakinan bahawa UMNO wajar dikekalkan sebagai parti pembangkang utama kerana tindakan itu telah mengurangkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Ahmad Zaharuddin Sani menjangkakan sekiranya kempen ‘tolak PH tolak UMNO’ dimainkan parti lawan, ia akan memberi kesan kepada calon PH yang bertanding.

“Saya juga percaya sekiranya Pulai dimenangi Perikatan Nasional (PN) akan ada lagi beberapa pemimpin UMNO akan meninggalkan parti itu, mungkin atas alasan sama (penolakan terhadap keputusan mahkamah Ahmad Zahid), ini akan menyebabkan Kerajaan Perpaduan goyang,” jelasnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan bagi 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi sebanyak RM31 juta atas permintaan pihak pendakwaan yang mendakwa tiada bukti kukuh untuk membuktikan kesalahan beliau.

Artikel Berkaitan:

Keputusan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada pemimpin politik, badan bukan kerajaan, peguam dan rakyat yang menganggap ia satu penghinaan kepada keadilan, integriti dan perjuangan anti-rasuah.

Ahmad Zaharuddin Sani tegaskan, keputusan mahkamah itu juga memberi kesan terhadap kredibiliti Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sukar menjawab soalan berkaitan kredibiliti selain komitmen dalam memerangi rasuah dan menegakkan undang-undang.

“Ia sedikit sebanyak calarkan imej kerajaan Anwar, kerajaan perlu dapatkan kembali kepercayaan rakyat, mereka perlu lakukan beberapa langkah untuk yakinkan rakyat.

“Antaranya menyiasat semula kes Ahmad Zahid secara teliti dan profesional tanpa campur tangan politik atau tekanan luar. Pada masa sama, perlu jelaskan kepada rakyat sebab-sebab di sebalik keputusan pelepasan Ahmad Zahid,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kerajaan juga harus mengambil tanggungjawab jika terdapat sebarang kelemahan atau kekhilafan dalam proses pendakwaan.

“Disebabkan itu, inilah masa untuk perkukuhkan institusi kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dan badan-badan lain berkaitan penguatkuasaan undang-undang agar lebih bebas, berkesan dan telus,” jelasnya.

Ahmad Zaharuddin Sani turut mencadangkan agar kerajaan meletakkan Peguam Negara dan SPRM di bawah seliaan Dewan Rakyat supaya ketelusan dapat dilaksanakan.

“Saranan lain termasuk meminta Jabatan Peguam Negara melakukan penjelasan secara langsung di semua media utama serta menjawab persoalan dengan telus.

“Kerajaan harus tunjukkan komitmen tinggi dalam membanteras rasuah dan menegakkan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang seseorang,” jelasnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid

Kes Zahid: Muda adakan mesyuarat tergempar - Syed Saddiq

Kes Zahid: Rasuah Busters tuntut kerajaan kotakan kata

Kes Zahid: Pimpinan Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian - Muda

Kes Ahmad Zahid: Gerakan tuntut penjelasan

Kes Zahid: Muhyiddin persoal tindakan Peguam Negara

Idrus Harun diminta beri penjelasan kes Ahmad Zahid - Anthony Loke