Prestasi PH Perak tak sampai 30 peratus: Saarani
IPOH - Pembangkang menyifatkan prestasi kerajaan PH di Perak lebih rendah daripada kerajaan Persekutuan yang memaklumkan prestasi pencapaian janji yang dilaksanakan sebanyak 39.01 peratus.
Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pencapaian janji kerajaan PH di Perak tidak sampai 30 peratus selepas setahun mentadbir kerajaan negeri.
Beliau berkata, tidak banyak program-program baharu yang dilaksanakan sebaliknya hanya meneruskan program BN terdahulu dengan menukar nama sahaja.
"Tiada apa yang baru pun. Cuma nama sahaja yang tukar macam Kotak Makanan Yayasan Bina Upaya (YBU) sebelum ini tukar kepada Kotak Harapan, Rumah YBU jadi Rumah Harapan, Dermasiswa Yayasan Perak jadi Dermasiswa Harapan. Itu sajalah.
"KIta tak nampak dengan jelas ke mana mereka nak bawa Perak ini sebenarnya sebab masa BN memerintah dahulu kita ada gagasan Perak Amanjaya yang ada peta landasan untuk diikut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai prestasi kerajaan Perak di bawah pentadbiran PH setelah genap setahun hari ini.
Dalam pada itu, Saarani menganggap barisan pembangkang di Perak berjaya menjalankan tugas dengan baik menjadi organisasi semak dan imbang kepada kerajaan.
Katanya, ADUN-ADUN pembangkang menegur dan memberikan cadangan kepada kerajaan pada Sidang DUN tentang kelemahan pentadbiran mereka.
"Kita berjaya berfungsi dengan badan semak dan imbang kepada kerajaan. Setiap tindakan dan keputusan kerajaan yang tidak memihak kepada rakyat kita tegur.
"Saya lihat pembangkang di Perak sudah menjalankan tugas dengan baik dan kita boleh tengok ketika perbahasan pada Sidang DUN," katanya yang merupakan Ketua Pembangkang Perak.
Sementara itu, mengenai kerjasama UMNO dan Pas, Saarani berkata, mereka akan terus bersama bekerja sebagai pembangkang.
Katanya, kerjasama itu bukan sesuatu yang pelik kerana ia pernah dilakukan oleh DAP dan PKR ketika mereka bergabung menjadi pembangkang di bawah nama Pakatan Rakyat sebelum ini.
Pada 12 Mei 2018, PH Perak berjaya membentuk kerajaan selepas mendapat sokongan dua ADUN BN iaitu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudn dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!