Shah Firdaus, Sivasangari pembawa Jalur Gemilang di Sukan Asia
PELUMBA berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan jaguh skuasy S. Sivasangari, dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang untuk Sukan Asia Hangzhou 2022, di China bermula 23 Sept hingga 8 Oktober ini.
Pengumuman itu dibuat Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, pada majlis penyerahan watikah pemilihan kepada Kontinjen Malaysia ke temasya berkenaan, hari ini.
"Kedua-dua Shah Firdaus dan Sivasangari mempunyai reputasi yang besar dan dilihat sebagai prospek pingat di Hangzhou. Saya berharap mereka menjadi inspirasi kepada atlet lain, terutamanya yang kali pertama menyertai temasya besar ini,” katanya.
Sivasangari sebelum ini dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang untuk Sukan Komanwel 2022 Birmingham, namun tidak dapat beraksi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Jun tahun lepas.
Mohamad Norza turut mengumumkan pemilihan Presiden Persekutuan Tinju Malaysia, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dan bekas atlet gimrama Prof. Madya Dr Farrah Hani Imran, sebagai Timbalan Ketua Kontinjen bagi temasya itu, untuk membantu Ketua Kontinjen Datuk Chong Kim Fatt dalam urusan berkaitan penyertaan, logistik dan kebajikan atlet negara di Hangzhou.
Mohamad Norza berkata, mengikut kemas kini terbaharu, seramai 289 atlet dan 145 pegawai akan mewakili Malaysia di Sukan Asia kali ini.
Malaysia akan menyertai dalam 22 daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan, termasuk terjun, badminton, berbasikal, ekuestrian, gimnastik, hoki, karate, memanah, skuasy, olahraga, taekwondo, esukan, tinju dan wushu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!