[VIDEO] Ular sawa 100kg 'ceroboh' kebun durian
MACHANG - Seorang wanita terkejut apabila menemui seekor ular sawa batik yang 'menceroboh' kebun durian miliknya di Kampung Pak Gombak, Joh di sini pada Rabu.
Ular sawa batik seberat 100 kilogram sedang melingkar berhampiran pokok durian ketika wanita berusia lingkungan 40-an itu ingin memungut buah di kebunnya kira-kira jam 2 petang.
Timbalan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Machang, Leftenan Pertahanan Awam Mohd Fadli Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.05 petang dan seramai enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik sahaja tiba, pihak kami mendapati ular sepanjang tujuh meter tersebut sedang tidur.
"Anggota kami mengambil masa selama 30 minit untuk menangkap reptilia tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di pejabat APM Machang di sini pada Rabu.
Ujarnya, ular sawa itu merupakan tangkapan terbesar yang dilakukan oleh APM Machang bagi tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!