PN yakin mampu kurangkan 70 peratus majoriti undi PH di Pulai

Mohd Solihan (kanan) dan Zulkifli (dua dari kanan) beramah mesra bersama jentera PN di Bukit Indah pada Rabu.
Mohd Solihan (kanan) dan Zulkifli (dua dari kanan) beramah mesra bersama jentera PN di Bukit Indah pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) yakin mampu mengurangkan lebih 70 peratus majoriti diraih calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.

Timbalan Pengarah PRK Pulai PN, Mohd Solihan Badri, berkata, jangkaan itu diperoleh hasil dapatan dan maklum balas pengundi yang dikumpul jentera PN yang turun berkempen.

"Kami menjangkakan dapat mengurangkan majoriti PH daripada lebih 30,000 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu kepada hanya 7,000 hingga 9,000 undi sahaja pada PRK kali ini.

"Sudah tentu sokongan pengundi akan terus meningkat sekiranya gerak kerja lancar sehingga ke kempen hari terakhir, calon PN mampu mencipta kejutan memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti tipis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas kempen calon PN PRK Parlimen Pulai, Zulkifli di kawasan majoriti pengundi Cina di Bukit Indah, di sini pada Rabu.

Pada PRU15, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, meraih 64,900 undi dengan majoriti besar 33,174 berbanding saingannya iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada BN (31,726 undi) dan PN yang diwakili Loh Kah Yong (20,667 undi).

Mohd Solihan yang juga Timbalan Pengerusi PN Johor berkata, pengundi Melayu yang keluar mengundi, terutama pengundi muda turut dijangka meningkat.

"Pertambahan undi beralih arah kepada PN oleh orang Melayu sama ada ahli dan penyokong UMNO, pengundi Melayu atas pagar selain ahli PKR yang tidak berpuas hati.

Artikel Berkaitan:

"Undi PH-BN jika kedua gabungan bergabung sememangnya tinggi namun melalui dapatan maklumat akar umbi, sokongan pengundi kedua gabungan itu sudah berpecah dan PN dijangka mendapat manfaatnya.

"Pertambahan undi juga dijangka berlaku dari pengundi bukan Melayu yang tidak puas hati keadaan ekonomi negara ketika ini," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!