Pelajar Terengganu harumkan nama negara di Qatar
KUALA TERENGGANU - Pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) mengharumkan nama negara setelah dinobatkan sebagai pendebat terbaik bagi Kategori Bukan Penutur Jati Bahasa Arab sempena Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa yang berlangsung pada 2 hingga 4 September di Qatar.
Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan, 17, menewaskan 72 peserta lain dari 18 negara bukan Arab yang turut berentap bagi merebut juara kategori tersebut.
Selain Wan Amzar Izzuddin, turut melakar kejayaan ialah rakan sepasukannya dari SMAASZA iaitu Abdul Muiz Hasanulddin, 17, yang merangkul tempat kedua dalam kategori sama.
Menurut Wan Amzar, kejayaan tersebut secara tidak langsung mengubat kesedihan pasukan Malaysia yang tidak berjaya mara ke perlawanan akhir selepas tewas kepada Bahrain pada pusingan ketiga perlawanan yang disertai oleh 34 negara Arab dan bukan Arab.
"Saya bersyukur kerana dinobatkan sebagai pendebat terbaik dalam pertandingan ini.
"Terima kasih kepada ibu bapa saya, guru-guru, jurulatih-jurulatih dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kerajaan Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) serta Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu," katanya
Wan Amzar yang berasal dari Besut dan Abdul Muiz dari Kuala Nerus antara empat peserta yang mewakili negara dalam pertandingan itu selain dua lagi pelajar dari Maahad Pontian, Johor iaitu Daing Muhammad Hasbi Daing Armey dan Khatib Sulaiman Mustafa.
Mereka dibimbing pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang diketuai Mohamad Ikmal Hakimi Mohamad Helni.
"Kami terpilih menganggotai pasukan debat Malaysia selepas berjaya menjuarai pertandingan debat bahasa Arab peringkat kebangsaan tahun lalu.
"Berbekalkan latihan intensif yang dikendalikan oleh pensyarah dari UIA, kami bersama dua orang lagi peserta dari Johor berjaya sampai ke peringkat ini," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sementara itu, Pengetua SMAASZA, Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad merakam penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga dan kewangan bagi menjayakan perjalanan mereka ke Qatar.
"Kita harap kejayaan ini menjadi motivasi kepada anak-anak Terengganu untuk terus cemerlang di peringkat antarabangsa," katanya.
Kejayaan dirangku pasukan itu menarik perhatian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Melalui hantaran di media sosialnya, pemimpin itu turut merakam penghargaan terhadap kejayaan pasukan tersebut yang berjaya meletakkan nama Terengganu dan negara di persada dunia.
"Syabas dah tahniah juga buat dua orang lagi ahli pasukan debat dari negeri Johor, para ibu bapa, guru-guru, jurulatih dan semua pihak di atas kejayaan yang membanggakan ini.
"Kejayaan ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dorongan semua pihak, Alhamdulillah,"tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!