Manchester City tenang tunggu Leon atau Urawa di Jeddah
JUARA Eropah Manchester City bakal menentang sama ada kelab Mexico, Club Leon atau Urawa Red Diamonds dari Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Kelab Dunia pada Disember selepas majlis undian di Arab Saudi.
Aksi separuh akhir lain, pemenang Copa Libertadores yang belum ditentukan akan menentang pemenang perlawanan Al-Ittihad (Arab Saudi)-Auckland City (New Zealand) atau Al Ahly (Mesir).
Juara negara tuan rumah, pemenang Liga Pro Saudi Al-Ittihad pula akan memulakan saingan menentang Auckland City.
Al-Ittihad berharap dapat mengulangi pencapaian Al-Hilal tahun lalu, apabila menjadi kelab Arab Saudi pertama mara ke final sebelum kalah 3-5 kepada Real Madrid di Stadium Putera Moulay Abdellah, kelab paling berjaya dalam pertandingan itu dengan lima gelaran.
Setakat ini tiada pemegang terdahulu dalam edisi tahun ini dengan Internacional (Brazil) adalah satu-satunya pemenang sebelum ini yang masih boleh mengambil tempat terakhir yang tersedia dalam pertandingan itu.
Wakil Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) hanya akan diketahui selepas final Copa Libertadores pada 4 November dengan Boca Juniors (Argentina) dan Palmeiras, Fluminense dan Internacional dari Brazil dalam saingan.
Piala Dunia Kelab akan berlangsung dari 12 hingga 22 Disember di Arab Saudi buat kali pertama seperti diumumkan pada Februari dengan Jeddah menganjurkan pertandingan di dua venue.
Edisi 2023 akan menjadi yang terakhir daripada format semasa pertandingan tahunan dengan tujuh pasukan, sebelum ia berkembang kepada acara 32 pasukan di Amerika Syarikat pada 2025.
PIALA KELAB DUNIA 2023
PUSINGAN PERTAMA
Al-Ittihad (Arab Saudi) lwn Auckland City (New Zealand)
PUSINGAN KEDUA
Al Ahly (Mesir) lwn Al-Ittihad/Auckland City
Club Leon (Mexico) lwn Urawa Red Diamonds (Jepun)
SEPARUH AKHIR
Wakil CONMEBOL lwn Al Ahly/Al-Ittihad/Auckland City
Leon/Urawa Red Diamonds lwn Manchester City (England)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!